HOME

Khamis, 8 Disember 2011

Wajarkah Untuk Rasa Cemburu?



Pernah rasa cemburu? Apkah rasanya? Manis macam gula-gula? Atau masam? Atau tawar? Atau pahit macam panadol? Jika rasanya manis, ia pasti bukan cemburu… Kalau rasanya tawar, ia juga bukanlah cemburu… Cemburu tidak akan datang jika perasaan kita pada waktu itu manis seperti gula.

Salah ke rasa cemburu?
Adakah salah memiliki rasa cemburu? Berdosa ke jika cemburu? Aisyah ra juga seorang yang cemburu.  Aisyah cemburu kepada Khadijah walaupun mereka tidak pernah bertemu. Perkara ini terjadi kerana Rasulullah sering menyebut-nyebut kebaikan Khadijah dan daripada Khadijahlah Rasulullah memperoleh keturunan.

Siapa tidak cemburu jika suaminya memuji isterinya yang lain? Wajarlah rasa cemburu itu… jika cemburu itu salah, pastilah Rasulullah sudah menegur sikap Aisyah ra.

Pernah satu hari, salah seorang isteri Nabi mengirim makanan kepada Rasulullah saw ketika baginda berada di rumah Aisyah. Akibatnya Aisyah cemburu dan tersinggung. Apa yang berlaku seterusnya? Aisyah telah menumpahkan mangkuk makanan yang dihantar kepada Rasulullah saw itu sehingga pecah. Adakah Rasulullah marah kepada Aisyah? Tidak. Rasul saw  tersenyum, lalu mengambil mangkuk yg baru dan mengembalikannya pada isterinya yg mengirim makanan tersebut.

Pastilah cemburu apabila ada perempuan lain yang mencintai suami kita.. Tapi jika kita berfikir lebih positif, kita sepatutnya berasa syukur kerana madu-madu kita adalah orang yang baik dan mencintai suami sepenuh hati. Tapi, ini bukan hal mudah. Bukan hal yang mudah untuk menangani rasa cemburu kerana kita sememangnya berhak untuk rasa cemburu kepada suami dan suami juga berhak untuk cemburu kepada isteri.



Ketika Rasulullah menikah dengan Shafiyah binti Huyai timbul kecemburuan dalam diri Hafshah dan berkata, “Dia adalah anak Yahudi”. Shafiyah terdengar lalu menangis. Kemudian Rasulullah menghiburkan hatinya dengan mengatakan, “Ketahuilah bahawa engkau adalah keturunan seorang nabi, bapa saudaramu adalah seorang nabi, dan engkau sekarang berada di bawah naungan seorang nabi. Wahai Hafshah, bertakwalah kepada Allah”.

Zubair bin Awwam juga seorang yang kuat cemburunya terhadap isterinya, iaitu Asma’ Binti Abu Bakar. Semasa mereka menikah Zubair Bin Awwam adalah seorang yang miskin. Beliau hanya memiliki seekor unta dan seekor kuda. Menjadi kebiasaan bagi Asma’ membuatkan roti bagi suaminya, tetapi beliau tidak pandai mengadun roti. Jadi, beliau perlu meminta pertolongan orang lain yang berjarak 8km daripada rumahnya. Suatu saat ketika Asma’ membawa biji gandum untuk dibuatkan adonan roti, beliau telah bertemu  dengan rombongan Rasulullah Shalallahu ‘alaih wa salam. Dan Rasulullah menawarkan tunggangan kepada Asma’. Namun, ditolak oleh Asma’ walaupun Asma’ terpaksa berjalan dengan jarak yang jauh. Asma’ telah mengatakan kepada Rasulullah saw bahawa kalaulah bukan karena kecemburuan suaminya, tentu Asma’ akan menerimanya. Asma’ berkata, “Sesungguhnya Zubair itu adalah seorang yang sangat pencemburu”. Ketika Asma’ telah tiba di rumah dan menceritakan kejadian ini kepada Zubair bin Awam, Zubair mengatakan, “Sungguh engkau berjalan dengan kakimu lebih aku cintai daripada engkau berjalan dengan khalifah Rasulullah”.

Seorang suami juga sangat berhak untuk berasa cemburu. Maka, wajarlah rasa cemburu ini dan tidaklah berdosa. Namun, bagaimana jika cemburu kepada yang lainnya? Cemburu antara pasangan kekasih? Adakah ia juga wajar? Mencintai yang bukan mahram itu juga sudah tidak wajar, apatah lagi ingin rasa cemburu. Memang tidak berhak! Maka, cemburu itu harus ditempatkan kepada yang berhak seperti suami mencemburi isterinya dan isteri mencemburui suaminya. Namun, cemburu ini harus juga dikawal dan diselesaikan dengan cara yang terbaik . Jangan biarkan syaitan hanyutkan diri kita dengan rasa cemburu yang tidak terkawal kerana ia akan menyebabkan musibah yang lebih besar terutamanya kepada pasangan suami isteri.



Jika ketika ini kita punya rasa cemburu kepada orang yang salah, maka kita harus bersabar dengan cemburu itu dan menjaganya kerana kita masih belum berhak untuk rasa cemburu. Dan jika ketika ini kita sedang cemburu pada suami atau isteri kita, maka didiklah rasa cemburu itu agar tunduk pada ketakwaan dan kebijaksanaan akal. Jika cemburu itu boleh diselesaikan dengan perhatian dan kasih sayang, maka berilah perhatian dan kasih sayang. Jika cemburu itu boleh dilenturkan dengan kelembutan, maka lenturkanlah dengan kelembutan.Jangan biarkan cemburu menundukkan kewarasan dan ketakwaan kita. Jangan biarkan cemburu meruntuhkan kerukunan rumah tangga kita. Atau dengan erti kata lain, pastikan cemburu kita tidak melebihi paras bahaya ^_^

syukran,

1 ulasan:

  1. cemburu? ada.. tp, jgn melampaui batas.. syaitan suka je kpd org yg melampaui batas..

    BalasPadam