HOME

Khamis, 8 Disember 2011

Asas Pendidikan dalam Pengajaran dan Pembelajaran Menurut Islam


Kupasan cempaka di bawah tidaklah merangkumi sistem pendidikan secara keseluruhan, tetapi adalah sekadar basic dalam pengajaran dan pembelajaran. Sangat berguna untuk para guru agar kita mampu membentuk generasi Islam yang unggul dan bukan terus jadi pencetak anak-anak bangsa sekular.




“Menuntut ilmu wajib bagi setiap Muslim” [HR Ibnu Adi dan Baihaqi]
Pendidikan atau proses menuntut ilmu  pengetahuan merupakan teras kepada pembangunan sesebuah masyarakat dan Negara. Allah SWT mewajibkan setiap Muslim  untuk menuntut ilmu dan mendapatkan pelbagai ilmu yang diperlukannya dalam menjalani kehidupan di atas muka bumi ini. 

Pendidikan juga merupakan asas kepada  pembentukan satu cara hidup (the way of life) yang akan memandu dan membezakan umat Islam dengan umat yang lain. Pendidikan seharusnya mampu membentuk akidah dan intelektual seorang muslim. Justeru, kurikulum pendidikan di sekolah mestilah berlandaskan Akidah Islamiyyah secara holistik.

Asas pendidikan

Asas pendidikan dalam Islam ialah akidah Islam. Akidah Islam mesti menjadi tiang dalam penyusunan kurikulum pendidikan, sistem  belajar mengajar, kelayakan guru, budaya dan interaksi antara komponen penyelenggara pendidikan. Dalam Islam, pendidikan  dianggap tidak berhasil apabila pendidikan tersebut gagal menghasilkan murid-murid yang terikat dengan syariat Islam walaupun murid-murid tersebut berjaya menguasai ilmu pengetahuan atau cemerlang dalam akademik. Oleh itu, akidah Islam wajib menjadi dasar kurikulum yang dilaksanakan oleh negara.

Namun begitu, ini tidak bermakna semua ilmu pengetahuan yang dikembangkan mesti bersumberkan  akidah Islam kerana tidak semua ilmu pengetahuan lahir daripada akidah Islam, tetapi  akidah Islam mesti dijadikan ukuran penilaian. Ilmu pengetahuan yang bertentangan dengan akidah Islam tidak boleh dikembangkan dan diajarkan, kecuali untuk dijelaskan kesalahannya. (Muhammad Ismail Yusanto, 2004)
Tujuan Pendidikan

      Membentuk Keperibadian Islam (Syakhsiyyah Islamiyah)
Pembentukan syakhsiyyah Islamiyyah haruslah dilakukan pada semua peringkat pendidikan. Sebelum usia baligh atau ketika sedang menuju ke usia baligh, murid-murid lebih banyak diberi isi pengajaran yang mampu meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT. Kemudian, setelah murid-murid berada pada usia baligh, murid-murid akan dibentuk dengan peningkatan syakhsiyyah Islamiyyah. Intinya , untuk memelihara  dan meningkatkan ketakwaan serta keterikatan diri dengan syariat Islam. Untuk memenuhi tujuan ini, guru mestilah melaksanakan secara tertib tiga langkah ini:
a) Menanamkan akidah Islam dengan kaedah yang merangsang akal, menggentarkan jiwa dan menyentuh perasaan.
b)   Mendorong murid-murid untuk sentiasa membentuk cara berfikir dan tingkah laku selaras dengan akidah dan syariat Islam yang telah dibentuk melalui langkah pertama.
c)    Mengembangkan keperibadian  melalui fikrah (pemikiran) dengan menyerapkan tsaqafah Islamiyyah dan mengamalkannya dalam seluruh aspek kehidupannya dalam rangka melaksanakan ketaatan kepada Alllah SWT. 

      Menguasai Tsaqafah Islam
Pengajaran tsaqafah Islam hendaklah disampaikan secara bertahap mengikut kesesuaian  dengan tingkat kemampuan dan daya serap murid-murid. Bagi menguasai tsaqafah Islam, ilmu-ilmu berikut mestilah diterapkan dalam sistem pendidikan:
a)    Bahasa Arab:bacaan, tulisan, nahu (tatabahasa), sharaf, ilmu balaghah, teks-teks sastera, kamus bahasa dan lain-lain.
b)    Tafidzul Qur’an dan Ulumul Qur’an
c)    Tahfidzul Hadits dan Ulumul Hadits
d)    Akidah Islamiyyah
e)    Fiqih Fardiyah (ibadah, makanan, minuman,  pakaian dan munakahat)
f)     Sunnah Nabi
g)    Tafsir
h)    Sirah Nabawiyah
i)      Sejarah Islam
j)      Akhlaq
k)    Ushul Fiqih
l)      Keperibadian islam
m)  Fikrah (pemikiran) Islam
n)    Fikrah (pemikiran) Syariah
o)    Dakwah islamiyyah dan lain-lain


      Mengusai ilmu kehidupan
Ilmu kehidupan merupakan pengetahuan yang tidak mempunyai kaitan secara langsung dengan pandangan hidup, dan tidak termasuk dalam perkara yang terlahir daripada akidah Islam. Namun begitu, ilmu ini mesti berlandaskan pada akidah Islam. Ilmu ini mesti dimiliki oleh murid-murid bagi memudahkan mereka terjun ke tengah-tengah masyarakat. Antara ilmu yang diperlukan oleh manusia ialah:
a)    Matematik
b)    Fizik
c)    Biologi
d)    Kimia
e)    Ekonomi
f)     Bahasa
g)    Pendidikan jasmani
h)    Kesenian
i)      Akaun
j)      Komputer dan lain-lain
(Muhammad Ismail Yusanto, 2004)


Thariqah/Kaedah Pengajaran

Kaedah pengajaran haruslah melalui proses penyampaian (khithab) dan penerimaan (talaqqiy) fikrah (pemikiran) daripada guru kepada murid-murid. Fikrah (pemikiran) atau akal merupakan alat  utama dalam sesi pengajaran dan pembelajaran. Akal terdiri daripada empat komponen, iaitu otak, penginderaan, fakta, dan maklumat yang terkait dengan fakta. Akal, proses berfikir, dan proses memahami mempunyai makna yang sama, iaitu memindahkan fakta  yang dicerap oleh alat indera ke dalam otak. Fakta ini kemudian diinterpretasikan  dengan maklumat yang berkaitan, maka wujudlah satu fakta baru. Oleh itu, jika ingin memindahkan fikrah (pemikiran) kepada orang lain,  khususnya dalam sesi pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas, guru haruslah memindahkan fikrahnya melalui bahasa yang mudah difahami oleh murid-murid. Fikrah yang ingin disampaikan mestilah dihubungkan dengan fakta yang boleh dicerap atau pernah dicerap oleh murid-murid untuk memastikan pemindahan fikrah boleh berlaku. Sekiranya fikrah (pemikiran)  yang ingin disampaikan tidak dikaitkan dengan fakta lain yang mampu dicerap oleh murid-murid, seperti kegagalan menjelaskan makna “nikah” tanpa mengaitkan dengan realiti atau fakta yang berkaitan, maka tidak akan terjadi proses pemindahan fikrah (pemikiran), tetapi hanyalah pemindahan maklumat sahaja. Dengan ini, murid-murid hanya menjadi orang yang berilmu, tetapi bukan orang yang berfikir.

            Semasa memindahkan fikrah (pemikiran) kepada murid-murid, guru mestilah bijak mengaitkan makna atau isi fikrah dengan penjelasan yang dalam lingkungan murid-murid. Penerangan guru mestilah berdasarkan realiti dan fakta di sekeliling murid-murid sehingga murid-murid mampu membentuk fikrah (pemikiran) berdasarkan gambaran yang diberikan oleh guru. Jika ini berjaya dilakukan oleh seorang guru, maka guru bukan sekadar berjaya memindahkan maklumat, tetapi berjaya membentuk murid-murid yang berfikir.
           
            Fakta yang dicerap mestilah fakta yang dapat diindera melalui mana-mana satu alat indera, sama ada fakta itu berbentuk objek atau bukan objek. Fakta yang berbentuk objek adalah seperti pohon yang dapat dilihat melalui alat indera mata, bunyi burung melalui pendengaran telinga dan kehalusan kain melalui sentuhan tangan. Fakta yang berbentuk bukan objek pula adalah seperti keberanian, amanah, pengecut dan khianat. Sebagai contoh, guru mestilah berjaya membuatkan murid-murid memahami bahawa apabila seorang muslim lari daripada medan perang, maka muslim tersebut dianggap pengecut.

            Fakta yang dapat diindera merupakan faktor asas dalam aktiviti berfikir. Suatu proses berfikir akan menemui kegagalan tanpa adanya fakta. Berbeza dengan hal-hal ghaib. Manusia tidak mempunyai kemampuan untuk merasakan hal-hal ghaib melalui mana-mana pancaindera. Manusia tidak dapat berfikir melalui pancaindera tentang syurga dan neraka melainkan melalui al-Quran dan hadis mutawatir.

            Dalam sesi pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas, penyampaian dan penerimaan fikrah (pemikiran) mestilah melalui empat komponen berfikir tersebut. Jika fakta yang ingin disampaikan belum pernah dicerap oleh murid-murid, guru mestilah bijak merancang pengajaran dengan bantuan pelbagai bahan bantu mengajar dan uslub (teknik) yang mampu membantu murid-murid mencerap fakta tersebut.  

Uslub/Teknik Pengajaran



Terdapat pelbagai uslub (teknik) yang boleh digunakan oleh guru  dalam melaksanakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Dalam konteks pendidikan, uslub ialah aktiviti yang dirancang oleh guru bagi memastikan murid-murid berjaya memahami fikrah yang ingin disampaikan secara efisyen dan efektif. Oleh itu, guru mestilah memillih uslub yang bersesuaian dengan potensi murid-muridnya bagi memastikan uslub yang dipilih dapat membantu pemahaman murid. Antara uslub yang boleh digunakan ialah berdialog, perbincangan, bercerita, main peranan, penyelesaian masalah, sumbangsaran, soal jawab dan lain-lain. Kebanyakan uslub ini memerlukan pelbagai sarana untuk melaksanakannya. Uslub dan sarana boleh berubah-ubah, berkembang, dipelbagaikan mengikut kesesuaian semasa dan latar belakang murid-murid. Keberkesanan pengajaran sangat bergantung kepada kebijakan guru dalam memilih dan merancang uslub dan sarana yang terbaik kepada murid-murid.

            Walaupun teknik chalk and talk sering dianggap tidak sesual lagi pada masa ini, namun, teknik ini masih diperlukan dalam memenuhi teknik-teknik lain. Guru masih memerlukan teknik ini semasa menggunakan teknik yang lain. Disebabkan itu, guru harus bijak mempelbagaikan teknik dan tidak bergantung kepada satu teknik sahaja dalam satu sesi pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas.

            Penggunaan uslub pengajaran yang terbaik ialah penggunaan uslub yang mampu mengintensifkan cara berfikir (aqliyah) yang rasional dalam diri murid-murid kerana cara berfikir rasional merupakan landasan bagi proses berfikir yang cemerlang di dalam Islam. Dengan cara berfikir rasional (aqliyah) akan terpecah simpulan besar pada diri manusia. Dengan cara berfikir ini akan terbentuk pemikiran yang menyeluruh dan benar tentang alam semesta, manusia, dan kehidupan, iaitu menjawab persoalan dari manakah kita datang, apakah tujuan kita hidup dan ke manakah kita selepas kita mati.

            Bagi memastikan uslub yang dipilih mampu mencapai objektif pengajaran, guru haruslah memerhatikan konsep-konsep berikut:

    1.    Guru hendaklah kreatif dalam merancang uslub yang terbaik dan tidak terikat dengan uslub tertentu sahaja. Seorang guru mestilah berpotensi mencipta pelbagai sarana dan uslub agar fikrah yang ingin disampaikan tidak sekadar menjadi maklumat beku dalam diri murid-murid, tetapi mampu membentuk akidah dan keperibadian Islam dalam diri mereka. Oleh itu, guru haruslah mengkaji latar belakang dan potensi murid-murid sebelum memilih dan merancang uslub yang ingin digunakan di dalam kelas.

    2.    Uslub yang dipilih oleh guru mestilah mampu merangsang sekurang-kurangnya satu pancaindera murid-murid (pendengaran, penglihatan, sentuhan, rasa dan bau) kerana pancaindera mampu mencerap fakta untuk dipindahkan ke otak. Guru mestilah mampu mendorong murid-murid agar menggunakan seberapa banyak pancainderanya dalam mencerap fakta. Adalah lebih baik seorang guru mampu mengadakan fakta tersebut di dalam kelas agar dapat disentuh, dibau, didengar, dirasa atau dilihat oleh murid-murid. Semakin banyak pancaindera digunakan, kesimpulan fakta yang ingin dicerap adalah semakin tepat. Namun, jika guru tidak berupaya untuk mengadakan fakta atau objek maujud itu, guru hendaklah menggunakan uslub lain yang mampu memberi gambaran yang jelas kepada murid-murid sehingga mereka berjaya mencerap fakta yang ingin disampaikan.

    3.    Guru juga hendaklah menggunakan bahasa yang paling mudah untuk difahami oleh murid-murid. Penjelasan guru haruslah bermula daripada umum kepada khusus terutamanya bagi murid-murid sekolah rendah. Dengan kata lain guru hendaklah menyampaikan asas kepada fakta yang ingin disampaikan sebelum menyampaikan cabang-cabang yang lebih luas dan mendalam.
`
    SISTEM PENDIDIKAN INI TIDAK AKAN MENCAPAI MATLAMATNYA SELAGI SISTEM YANG MENAUNGI UMAT HARI INI ADALAH SISTEM SEKULAR. NAMUN, SEBAGAI GURU KITA TIDAK PERLU TUNDUK DENGAN KEBIADAPAN SEKULAR. LETAKKAN KETAKWAAN KITA DALAM MENDIDIK ANAK MURID KITA.JADIKAN ISLAM SEBAGAI SISTEM YANG MENGATUR KITA DALAM APA CARA SEKALIPUN WALAUPUN ORANG AKAN LIHAT KITA SEBAGAI GURU YANG PELIK DAN MELAWAN ARUS
      Dalam riwayat al-Imam Ahmad, Nabi s.a.w bersabda:
“Beruntunglah golongan ghuraba` (yang asing atau pelik)”. Ditanya baginda: “Siapakah mereka yang ghuraba itu wahai Rasulullah?”. Jawab baginda: “Golongan yang soleh dalam kalangan ramai yang jahat, yang menentang mereka lebih ramai daripada yang mentaati mereka”. (dinilai sahih oleh Ahmad Shakir).
     ~Hidup ini bukan untuk dinilai oleh manusia, tetapi untuk dinilai oleh Allah. Hidup ini bukan untuk mencari redha manusia, tetapi untuk meraih redha Allah~



















Tiada ulasan:

Catat Ulasan