HOME

Jumaat, 9 Disember 2011

Hidup adalah Tentang Cinta...




Indahnya cinta sehingga tidak mampu diungkapkan dengan kata-kata, namun adakah seindah ini realiti pemilik cinta? Pelbagai persoalan bermain dalam fikiran Cempaka? Mengapa sering berlaku kebiadapan dan kebodohan dalam cinta? Mengapa banyak air mata dalam cinta? Mengapa banyak hati terluka dalam cinta? Mengapa banyak pertelingkahan dalam cinta? Namun, ramai yang masih menagih cinta…

Di mana-mana kita sering lihat kisah cinta. Di pasar, di panggung wayang, di dalam kereta, di tasik, di pusat reakreasi, di KLCC, di Muzium, di pejabat pos,di LRT, di atas motosikal, di facebook…. Di mana-mana ada kisah cinta.

Risau jika cinta tidak berbalas. Bimbang dikata gagal meraih cinta. Cemburu melihat rakan sebaya punya cinta. Jeles  melihat pasangan berpimpin rapat. Mulalah pelbagai kisah mencari cinta..

“Tanamilah benih cinta, siramilah ia dengan kasih sayang berbajakan pengorbanan agar ia subur menjadi buah yang penuh kebahagiaan”
Sungguh! Cempaka sangat kagum melihat pelbagai kisah cinta yang dihias dengan pengorbanan. Benar seperti madah cinta di atas. Menanam benih cinta..Di mana? Di rahim pemilik cinta? Dengan kesuburan cinta yang penuh dengan kasih saying, lahirlah orang ketiga yang tidak diundang. Itulah kisah cinta yang penuh yang tragis dan penuh pengorbanan! Adakah ini cinta…. Sungguh, aku keliru!

 Hidupnya hanya untuk cinta. Setiap pagi dikejut dengan miscall cinta. Study dengan cinta. Ke pasar dengan cinta. Lunch dengan cinta. Dinner juga dengan cinta. Window shopping dengan cinta. Dari celik matanya sehingga pejam matanya kembali di malam hari bicara hidupnya hanya tentang cinta. Perilakunya hanya untuk cinta. Sibuknya hanya untuk cinta. Mencari hadiah hari jadi untuk cinta. Menyambut valentine untuk cinta. Menyambut anniversary  untuk cinta. Senyumannya kerana cinta. Kejayaannya juga kerana cinta. Tawanya juga kerana cinta.


Nah, ini penangan cinta.Apabila hati penuh cinta, bibir laju mengungkap puisi cinta. Tangan bergerak terlalu pantas kerana otak ligat  mengilhamkan madah. Tidak pernah ketahuan punya bakat puisi. Namun, bahagia cinta memungkinkan semuanya.

Cintakah yang bersalah?

Cinta adalah kekuatan,
yang mampu mengubah duri jadi mawar,
mengubah cuka jadi anggur,
mengubah sedih jadi riang,
mengubah amarah jadi ramah,
mengubah musibah jadi muhibbah,
itulah cinta..
Jika diperhati pada bait-bait puisi ini, benarlah cinta itu membahagiakan. Hebatnya cinta sehingga boleh menukar duri jadi mawar, cuka menjadi anggur, sedih menjadi riang, amarah jadi ramah, musibah jadi muhibbah.. Benar, inilah cinta. Cinta tidak pernah bersalah. Tapi kita yang sering salah dalam memilih cinta.

Aku menagih cinta

Cinta itu laksana pohon di dalam hati. Akarnya adalah ketundukan kepada kekasih yang dicintai, dahannya adalah mengetahui tentang kekasihnya, rantingnya adalah ketakutan kepadanya, daun-daunnya adalah malu kepadanya, buahnnya adalah ketaatan kepadanya dan air yang menghidupinya adalah menyebut namanya. Jika di dalam cinta ada satu bahagian yang kosong bererti cinta itu berkurang. Apabila Allah s.w.t. cinta kepada kita maka seluruh makhluk di langit dan di bumi akan mencintainya. Bertepatan dengan hadith dari Abu Hurairah bahawa Nabi Muhammad s.a.w. telah bersabda yang bermaksud: “Jika Allah s.w.t. mencintai seseorang hamba, maka Jibril berseru, “Sesungguhnya Allah s.w.t. mencintai Fulan, maka cintailah dia!” Maka para penghuni langit mencintainya, kemudian dijadikan orang-orang yang menyambutnya di muka bumi.” [Riwayat Bukhari dan Muslim]

Subhanallah..inilah cinta..


Dalam Sunan Abu Daud dari hadith Abu Dzar r.a., dia berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda: “Amal yang paling utama ialah mencintai kerana Allah s.w.t. dan membenci kerana Allah s.w.t.” Imam Ahmad berkata: “Kami diberitahu oleh Isma’il bin Yunus, dari Al-Hassan r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Demi Allah, Allah s.w.t. tidak akan mengazab kekasih-Nya, tetapi Dia telah mengujinya di dunia.”

Ya Allah..Ujilah aku kerana cintaMu kepadaku…


Bagaimanakah yang dikatakan hakikat cinta itu? Banyak mengingati pada yang dicintai, membicarakan dan menyebut namanya. Apabila seseorang itu mencintai sesuatu atau seseorang, maka sudah tentu beliau akan sentiasa mengingatinya di hati atau menyebutnya dengan lidah. Oleh yang demikian, Allah s.w.t. memerintahkan hamba-hamba-Nya agar mengingati-Nya dalam apa keadaan sekalipun sebagaiman yang difirmankan oleh Allah s.w.t.: “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu bertemu dengan sesuatu pasukan (musuh) maka hendaklah kamu tetap teguh menghadapinya, dan sebutlah serta ingatilah Allah (dengan doa) banyak-banyak, supaya kamu berjaya (mencapai kemenangan).” [Al-Anfaal:45]

Cukupkah ingatan kita kepadaNya……?


Tunduk pada perintah orang yang dicintainya dan mendahulukannya daripada kepentingan diri sendiri. Dalam hal ini, orang yang mencintai itu ada tiga macam: 1. Orang yang mempunyai keinginan tertentu dari orang yang dicintainya. 2. Orang yang berkeinginan terhadap orang yang dicintainya. 3. Orang yang berkeinginan seperti keinginan orang yang dicintainya. Inilah yang merupakan tingkatan zuhud yang paling tinggi kerana dia mampu menghindari setiap keinginan yang bertentangan dengan orang yang dicintainya. Firman Allah s.w.t.: “Katakanlah (Wahai Muhammad): “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” [A’li Imran:31]

Jadi, sejauh manakah hebatnya cinta kita kepadaNya?

Daripada Abu Hurairah r.a. berkata: Rasul s.a.w. bersabda: “Akan timbul di akhir zaman orang-orang yang mencari keuntungan dunia dengan menjual agama. Mereka menunjukkan kepada orang-orang lain pakaian yang dibuat daripada kulit kambing (berpura-pura zuhud daripada dunia) untuk mendapat simpati orang ramai, dan percakapan mereka lebih manis daripada gula. Pada hal hati mereka adalah hati serigala (mempunyai tujuan-tujuan yang jahat). Allah s.w.t. berfirman kepada mereka: Apakah kamu tertipu dengan kelembutanKu? Apakah kamu terlampau berani berbohong kepadaKu? Demi KebesaranKu, Aku bersumpah akan menurunkan suatu fitnah yang akan terjadi di kalangan mereka sendiri sehingga orang ‘alim (cendikiawan) pun akan menjadi bingung (dengan sebab tekanan fitnah itu)” [Riwayat At-Tirmidzi]

Di manakah letaknya cinta kita kepadaNya.. Adakah kita hanya berpura-pura mencintaiNya?


Ibnu Abbas berkata: Allah memerintahkan kepada orang-orang yang beriman agar tidak meredhai kemungkaran yang berlaku di tengah-tengah mereka. Apabila mereka mengakui kemungkaran itu, maka azab Allah akan menimpa mereka semua, baik yang melakukannya mahupun orang-orang yang baik. Umar Ibn Abdul Aziz berkata: Bahawa sesungguhnya Allah tidak mengazab orang ramai dengan sebab perbuatan yang dilakukan oleh orang-oeang perseorangan. Tetapi kalau maksiat dilakukan terang-terangan sedangkan mereka (orang ramai) tidak mengingatkan, maka keseluruhan kaum itu berhak mendapat seksa.
Inilah bukti cinta…telah kita melakukan tuntutan cinta ini?


“Sesungguhnya Allah telah memfardhukan pelbagai perkara wajib, maka janganlah kamu mengabaikannya, dan telah menetapkan had bagi beberapa keharusan, maka janganlah kamu melewatinya, dan juga telah mengharamkan beberapa perkara, maka janganlah kamu mencerobihinya, dan juga telah mendiamkan hukum bagi sesuatu perkara, sebagai rahmat kemudahan buat kamu dan bukan kerana terlupa, maka janganlah kamu menyusahkan dirimu dengan mencari hukumannya” [Riwayat Ad-Dar Qutni, ; Ad-Dar Qutni : Sohih, An-Nawawi : Hasan]

MasyaAllah…cinta ini menuntut pengorbananmu…


Mencintai tempat dan rumah sang kekasih. Di sinilah letaknya rahsia seseorang yang menggantungkan hatinya untuk sentiasa rindu dan cinta kepada Ka’abah dan Baitulahhilharam serta masjid-masjid sehinggakan dia rela berkorban harta dan meninggalkan orang tersayang serta kampung halamannya demi untuk meneruskan perjalanan menuju ke tempat yang paling dicintainya. Perjalanan yang berat pun akan terasa ringan dan menyenangkan. Bukannya seperti kebanyakan daripada manusia zaman ini yang lebih cintakan harta benda daripada apa yang sepatutnya mereka cintai. Daripada Tsauban r.a berkata: Rasul s.a.w. bersabda: “Hampir tiba suatu masa dimana bangsa-bangsa dari seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang-orang yang hendak makan mengerumuni talam hidangan mereka. Maka salah seorang sahabat bertanya: Apakah dari kerana kami sedikit pada hari itu? Nabi s.a.w. menjawab: Bahkan kamu pada hari itu banyak sekali, tetapi kamu umpama nuih di waktu banjir, dan Allah akan mencabut rasa gerun terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu, dan Allah akan mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit “wahan”. Seorang sahabat bertanya: Apakah “wahan” itu hai Rasul s.a.w? Nabi s.a.w. menjawab: Cinta dunia dan takut mati” [Riwayat Abu Daud]

Aduhh..di manakah sebenarnya kedudukan cinta kita…..?

Mencintai apa yang dicintai sang kekasih. Dengan mematuhi segala perintah Allah s.w.t. serta mengamalkan sunnah Rasulullah s.a.w. “Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam agama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan; Sesungguhnya syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata” [Al-Baqarah:208]


Cinta ini menuntut pengorbananmu, sudahkah hati-hati ini tunduk pada cinta agung ini? Berkorban untuk mendapatkan keredhaan sang kekasih Keimanan seseorang muslim itu akan lengkap sekiranya dia mencintai Rasulullah s.a.w. dengan hakikat cinta yang sebenar.
Rasulullah s.a.w. bersabda: “Tidak beriman seorang daripada kalian sehingga aku menjadi orang yang lebih dicintainya daripada (cintanya kepada) anak dan bapanya serta sekelian manusia” [Riwayat Asy-Syaikhany, An-Nasaai, Ibnu Majah dan Ahmad]


Siapa sebenarnya yang kalian cinta?

Barangsiapa yang lebih mementingkan orang yang dicintai, maka beliau sanggup berkorban nyawa sekalipun demi untuk membuktikan kecintaannya itu kepada sang kekasih yang dicintainya. Oleh yang demikian, kedudukan iman seseorang masih belum dianggap mantap kecuali menjadikan Rasulullah s.a.w. sebagai orang yang paling mereka cintai, lebih besar dari cinta kepada diri mereka sendiri apalagi cinta kepada anak dan seterusnya keluarga dan harta benda.
Firman Allah s.w.t.: “Nabi itu (hendaknya) lebih utama bagi orang-orang mukmin dari diri mereka sendiri[1200] dan isteri-isterinya adalah ibu-ibu mereka. dan orang-orang yang mempunyai hubungan darah satu sama lain lebih berhak (waris-mewarisi) di dalam Kitab Allah daripada orang-orang mukmim dan orang-orang Muhajirin, kecuali kalau kamu berbuat baik[1201] kepada saudara-saudaramu (seagama). adalah yang demikian itu telah tertulis di dalam Kitab (Allah)” [1200] Maksudnya: orang-orang mukmin itu mencintai nabi mereka lebih dari mencintai diri mereka sendiri dalam segala urusan. [1201] yang dimaksud dengan berbuat baik disini ialah berwasiat yang tidak lebih dari sepertiga harta. [Al-Ahzab:6] Cemburu kepada yang dicintai. Orang yang mencintai Allah s.w.t. dan Rasul-Nya sentiasa cemburu hatinya apabila hak-hak Allah s.w.t. dan Rasul-Nya dilanggar dan diabaikan. Dari kecemburuan inilah timbulnya pelaksanaan amal makruf dan nahi mungkar. Oleh kerana itulah, Allah s.w.t. menjadikan jihad sebagai tanda cinta kepada-Nya. Firman Allah s.w.t.:

”Hai orang-orang yang beriman, barangsiapa di antara kamu yang murtad dari agamanya, Maka kelak Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Allah mencintai mereka dan mereka pun mencintaiNya, yang bersikap lemah Lembut terhadap orang yang mukmin, yang bersikap keras terhadap orang-orang kafir, yang berjihad dijalan Allah, dan yang tidak takut kepada celaan orang yang suka mencela. Itulah karunia Allah, diberikan-Nya kepada siapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha luas (pemberian-Nya), lagi Maha Mengetahui” [Al-Maaidah:54]


Sudahkah cukup cinta kita kepada Allah yang sangat mencintai hamba-hambanya?

Menghindari hal-hal yang merenggangkan hubungan dengan orang yang dicintai dan membuatnya marah. ”Hai nabi, bertakwalah kepada Allah dan janganlah kamu menuruti (keinginan) orang-orang kafir dan orang-orang munafik. Sesungguhnya Allah adalah Maha mengetahui lagi Maha Bijaksana. Dan ikutilah apa yang diwahyukan Tuhan kepadamu. Sesungguhnya Allah adalah Maha mengetahui apa yang kamu kerjakan. Dan bertawakkallah kepada Allah. dan cukuplah Allah sebagai Pemelihara” [Al-Ahzab:1-3]

Sedarlah saat ini, siapakah sebenarnya yang berhak terhadap cinta kita?

”Dan diantara manusia ada orang-orang yang menyembah tandingan-tandingan selain Allah; mereka mencintainya sebagaimana mereka mencintai Allah. adapun orang-orang yang beriman amat sangat cintanya kepada Allah. dan jika seandainya orang-orang yang berbuat zalim itu[106] mengetahui ketika mereka melihat siksa (pada hari kiamat), bahwa kekuatan itu kepunyaan Allah semuanya, dan bahwa Allah amat berat siksaan-Nya (niscaya mereka menyesal)” [106] yang dimaksud dengan orang yang zalim di sini ialah orang-orang yang menyembah selain Allah. [Al-Baqarah:165]

Hanya Allah yang berhak untuk kita cintai sepenuh hati.. Hanya agama ini yang berhak menuntu pengorbananmu..


“Sesudah itu, patutkah mereka berkehendak lagi kepada hukum-hukum jahiliyah? Padahal kepada orang-orang yang penuh keyakinan tidak ada sesiapa yang boleh membuat hukum yang lebih pada daripada Allah” [Al-Maaidah:50]

“Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya)” [Al-Baqarah:188] Daripada Abu Hurairah r.a. katanya: aku mendengar Rasul s.a.w. bersabda: “Umatku akan ditimpa penyakit-penyakit yang pernah menimpa umat-umat terdahulu. Sahabat bertanya: Apakah penyakit-penyakit umat-umat terdahulu itu? Nabi s.a.w. menjawab: Penyakit-penyakit itu ialah (1) terlalu banyak seronok (2) terlalu mewah (3) menghimpun harta sebanyak mungkin (4) tipu menipu dalam merebut harta benda dunia (5) saling memarahi (6) hasut-menghasut sehingga jadi zalim menzalimi” [Riwayat Al-Hakim]


Hidup ini adalah cinta..
Dunia ini penuh dengan cinta…
Hidup ini dihias dengan cinta..
Tetapi hanya sedikit yang meraih cinta…
Ada yang gagal mengenal cinta.
Kerana kalian sibuk dengan memilih cinta lainnya..
Kerana kalian terbuai syahwat cinta,
Kerana kalian tertipu si dongeng cinta,
Kerana kalian lalai akan kebesaran pencipta cinta,


Tanyalah pada dirimu wahai umat Muhammad,Jika benar kamu meraih cintaNya,
Mengapa hidupmu sibuk dengan hal lainnya?Mengapa kamu abaikan pengorbanan yang dituntut dalam menggapai cintaiNya?


~Hidup ini adalah kisah cinta..hanya orang yang berkorban dalam meraih cintaNya akan meraih syurgaNya~
















Khamis, 8 Disember 2011

Asas Pendidikan dalam Pengajaran dan Pembelajaran Menurut Islam


Kupasan cempaka di bawah tidaklah merangkumi sistem pendidikan secara keseluruhan, tetapi adalah sekadar basic dalam pengajaran dan pembelajaran. Sangat berguna untuk para guru agar kita mampu membentuk generasi Islam yang unggul dan bukan terus jadi pencetak anak-anak bangsa sekular.




“Menuntut ilmu wajib bagi setiap Muslim” [HR Ibnu Adi dan Baihaqi]
Pendidikan atau proses menuntut ilmu  pengetahuan merupakan teras kepada pembangunan sesebuah masyarakat dan Negara. Allah SWT mewajibkan setiap Muslim  untuk menuntut ilmu dan mendapatkan pelbagai ilmu yang diperlukannya dalam menjalani kehidupan di atas muka bumi ini. 

Pendidikan juga merupakan asas kepada  pembentukan satu cara hidup (the way of life) yang akan memandu dan membezakan umat Islam dengan umat yang lain. Pendidikan seharusnya mampu membentuk akidah dan intelektual seorang muslim. Justeru, kurikulum pendidikan di sekolah mestilah berlandaskan Akidah Islamiyyah secara holistik.

Asas pendidikan

Asas pendidikan dalam Islam ialah akidah Islam. Akidah Islam mesti menjadi tiang dalam penyusunan kurikulum pendidikan, sistem  belajar mengajar, kelayakan guru, budaya dan interaksi antara komponen penyelenggara pendidikan. Dalam Islam, pendidikan  dianggap tidak berhasil apabila pendidikan tersebut gagal menghasilkan murid-murid yang terikat dengan syariat Islam walaupun murid-murid tersebut berjaya menguasai ilmu pengetahuan atau cemerlang dalam akademik. Oleh itu, akidah Islam wajib menjadi dasar kurikulum yang dilaksanakan oleh negara.

Namun begitu, ini tidak bermakna semua ilmu pengetahuan yang dikembangkan mesti bersumberkan  akidah Islam kerana tidak semua ilmu pengetahuan lahir daripada akidah Islam, tetapi  akidah Islam mesti dijadikan ukuran penilaian. Ilmu pengetahuan yang bertentangan dengan akidah Islam tidak boleh dikembangkan dan diajarkan, kecuali untuk dijelaskan kesalahannya. (Muhammad Ismail Yusanto, 2004)
Tujuan Pendidikan

      Membentuk Keperibadian Islam (Syakhsiyyah Islamiyah)
Pembentukan syakhsiyyah Islamiyyah haruslah dilakukan pada semua peringkat pendidikan. Sebelum usia baligh atau ketika sedang menuju ke usia baligh, murid-murid lebih banyak diberi isi pengajaran yang mampu meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT. Kemudian, setelah murid-murid berada pada usia baligh, murid-murid akan dibentuk dengan peningkatan syakhsiyyah Islamiyyah. Intinya , untuk memelihara  dan meningkatkan ketakwaan serta keterikatan diri dengan syariat Islam. Untuk memenuhi tujuan ini, guru mestilah melaksanakan secara tertib tiga langkah ini:
a) Menanamkan akidah Islam dengan kaedah yang merangsang akal, menggentarkan jiwa dan menyentuh perasaan.
b)   Mendorong murid-murid untuk sentiasa membentuk cara berfikir dan tingkah laku selaras dengan akidah dan syariat Islam yang telah dibentuk melalui langkah pertama.
c)    Mengembangkan keperibadian  melalui fikrah (pemikiran) dengan menyerapkan tsaqafah Islamiyyah dan mengamalkannya dalam seluruh aspek kehidupannya dalam rangka melaksanakan ketaatan kepada Alllah SWT. 

      Menguasai Tsaqafah Islam
Pengajaran tsaqafah Islam hendaklah disampaikan secara bertahap mengikut kesesuaian  dengan tingkat kemampuan dan daya serap murid-murid. Bagi menguasai tsaqafah Islam, ilmu-ilmu berikut mestilah diterapkan dalam sistem pendidikan:
a)    Bahasa Arab:bacaan, tulisan, nahu (tatabahasa), sharaf, ilmu balaghah, teks-teks sastera, kamus bahasa dan lain-lain.
b)    Tafidzul Qur’an dan Ulumul Qur’an
c)    Tahfidzul Hadits dan Ulumul Hadits
d)    Akidah Islamiyyah
e)    Fiqih Fardiyah (ibadah, makanan, minuman,  pakaian dan munakahat)
f)     Sunnah Nabi
g)    Tafsir
h)    Sirah Nabawiyah
i)      Sejarah Islam
j)      Akhlaq
k)    Ushul Fiqih
l)      Keperibadian islam
m)  Fikrah (pemikiran) Islam
n)    Fikrah (pemikiran) Syariah
o)    Dakwah islamiyyah dan lain-lain


      Mengusai ilmu kehidupan
Ilmu kehidupan merupakan pengetahuan yang tidak mempunyai kaitan secara langsung dengan pandangan hidup, dan tidak termasuk dalam perkara yang terlahir daripada akidah Islam. Namun begitu, ilmu ini mesti berlandaskan pada akidah Islam. Ilmu ini mesti dimiliki oleh murid-murid bagi memudahkan mereka terjun ke tengah-tengah masyarakat. Antara ilmu yang diperlukan oleh manusia ialah:
a)    Matematik
b)    Fizik
c)    Biologi
d)    Kimia
e)    Ekonomi
f)     Bahasa
g)    Pendidikan jasmani
h)    Kesenian
i)      Akaun
j)      Komputer dan lain-lain
(Muhammad Ismail Yusanto, 2004)


Thariqah/Kaedah Pengajaran

Kaedah pengajaran haruslah melalui proses penyampaian (khithab) dan penerimaan (talaqqiy) fikrah (pemikiran) daripada guru kepada murid-murid. Fikrah (pemikiran) atau akal merupakan alat  utama dalam sesi pengajaran dan pembelajaran. Akal terdiri daripada empat komponen, iaitu otak, penginderaan, fakta, dan maklumat yang terkait dengan fakta. Akal, proses berfikir, dan proses memahami mempunyai makna yang sama, iaitu memindahkan fakta  yang dicerap oleh alat indera ke dalam otak. Fakta ini kemudian diinterpretasikan  dengan maklumat yang berkaitan, maka wujudlah satu fakta baru. Oleh itu, jika ingin memindahkan fikrah (pemikiran) kepada orang lain,  khususnya dalam sesi pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas, guru haruslah memindahkan fikrahnya melalui bahasa yang mudah difahami oleh murid-murid. Fikrah yang ingin disampaikan mestilah dihubungkan dengan fakta yang boleh dicerap atau pernah dicerap oleh murid-murid untuk memastikan pemindahan fikrah boleh berlaku. Sekiranya fikrah (pemikiran)  yang ingin disampaikan tidak dikaitkan dengan fakta lain yang mampu dicerap oleh murid-murid, seperti kegagalan menjelaskan makna “nikah” tanpa mengaitkan dengan realiti atau fakta yang berkaitan, maka tidak akan terjadi proses pemindahan fikrah (pemikiran), tetapi hanyalah pemindahan maklumat sahaja. Dengan ini, murid-murid hanya menjadi orang yang berilmu, tetapi bukan orang yang berfikir.

            Semasa memindahkan fikrah (pemikiran) kepada murid-murid, guru mestilah bijak mengaitkan makna atau isi fikrah dengan penjelasan yang dalam lingkungan murid-murid. Penerangan guru mestilah berdasarkan realiti dan fakta di sekeliling murid-murid sehingga murid-murid mampu membentuk fikrah (pemikiran) berdasarkan gambaran yang diberikan oleh guru. Jika ini berjaya dilakukan oleh seorang guru, maka guru bukan sekadar berjaya memindahkan maklumat, tetapi berjaya membentuk murid-murid yang berfikir.
           
            Fakta yang dicerap mestilah fakta yang dapat diindera melalui mana-mana satu alat indera, sama ada fakta itu berbentuk objek atau bukan objek. Fakta yang berbentuk objek adalah seperti pohon yang dapat dilihat melalui alat indera mata, bunyi burung melalui pendengaran telinga dan kehalusan kain melalui sentuhan tangan. Fakta yang berbentuk bukan objek pula adalah seperti keberanian, amanah, pengecut dan khianat. Sebagai contoh, guru mestilah berjaya membuatkan murid-murid memahami bahawa apabila seorang muslim lari daripada medan perang, maka muslim tersebut dianggap pengecut.

            Fakta yang dapat diindera merupakan faktor asas dalam aktiviti berfikir. Suatu proses berfikir akan menemui kegagalan tanpa adanya fakta. Berbeza dengan hal-hal ghaib. Manusia tidak mempunyai kemampuan untuk merasakan hal-hal ghaib melalui mana-mana pancaindera. Manusia tidak dapat berfikir melalui pancaindera tentang syurga dan neraka melainkan melalui al-Quran dan hadis mutawatir.

            Dalam sesi pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas, penyampaian dan penerimaan fikrah (pemikiran) mestilah melalui empat komponen berfikir tersebut. Jika fakta yang ingin disampaikan belum pernah dicerap oleh murid-murid, guru mestilah bijak merancang pengajaran dengan bantuan pelbagai bahan bantu mengajar dan uslub (teknik) yang mampu membantu murid-murid mencerap fakta tersebut.  

Uslub/Teknik Pengajaran



Terdapat pelbagai uslub (teknik) yang boleh digunakan oleh guru  dalam melaksanakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Dalam konteks pendidikan, uslub ialah aktiviti yang dirancang oleh guru bagi memastikan murid-murid berjaya memahami fikrah yang ingin disampaikan secara efisyen dan efektif. Oleh itu, guru mestilah memillih uslub yang bersesuaian dengan potensi murid-muridnya bagi memastikan uslub yang dipilih dapat membantu pemahaman murid. Antara uslub yang boleh digunakan ialah berdialog, perbincangan, bercerita, main peranan, penyelesaian masalah, sumbangsaran, soal jawab dan lain-lain. Kebanyakan uslub ini memerlukan pelbagai sarana untuk melaksanakannya. Uslub dan sarana boleh berubah-ubah, berkembang, dipelbagaikan mengikut kesesuaian semasa dan latar belakang murid-murid. Keberkesanan pengajaran sangat bergantung kepada kebijakan guru dalam memilih dan merancang uslub dan sarana yang terbaik kepada murid-murid.

            Walaupun teknik chalk and talk sering dianggap tidak sesual lagi pada masa ini, namun, teknik ini masih diperlukan dalam memenuhi teknik-teknik lain. Guru masih memerlukan teknik ini semasa menggunakan teknik yang lain. Disebabkan itu, guru harus bijak mempelbagaikan teknik dan tidak bergantung kepada satu teknik sahaja dalam satu sesi pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas.

            Penggunaan uslub pengajaran yang terbaik ialah penggunaan uslub yang mampu mengintensifkan cara berfikir (aqliyah) yang rasional dalam diri murid-murid kerana cara berfikir rasional merupakan landasan bagi proses berfikir yang cemerlang di dalam Islam. Dengan cara berfikir rasional (aqliyah) akan terpecah simpulan besar pada diri manusia. Dengan cara berfikir ini akan terbentuk pemikiran yang menyeluruh dan benar tentang alam semesta, manusia, dan kehidupan, iaitu menjawab persoalan dari manakah kita datang, apakah tujuan kita hidup dan ke manakah kita selepas kita mati.

            Bagi memastikan uslub yang dipilih mampu mencapai objektif pengajaran, guru haruslah memerhatikan konsep-konsep berikut:

    1.    Guru hendaklah kreatif dalam merancang uslub yang terbaik dan tidak terikat dengan uslub tertentu sahaja. Seorang guru mestilah berpotensi mencipta pelbagai sarana dan uslub agar fikrah yang ingin disampaikan tidak sekadar menjadi maklumat beku dalam diri murid-murid, tetapi mampu membentuk akidah dan keperibadian Islam dalam diri mereka. Oleh itu, guru haruslah mengkaji latar belakang dan potensi murid-murid sebelum memilih dan merancang uslub yang ingin digunakan di dalam kelas.

    2.    Uslub yang dipilih oleh guru mestilah mampu merangsang sekurang-kurangnya satu pancaindera murid-murid (pendengaran, penglihatan, sentuhan, rasa dan bau) kerana pancaindera mampu mencerap fakta untuk dipindahkan ke otak. Guru mestilah mampu mendorong murid-murid agar menggunakan seberapa banyak pancainderanya dalam mencerap fakta. Adalah lebih baik seorang guru mampu mengadakan fakta tersebut di dalam kelas agar dapat disentuh, dibau, didengar, dirasa atau dilihat oleh murid-murid. Semakin banyak pancaindera digunakan, kesimpulan fakta yang ingin dicerap adalah semakin tepat. Namun, jika guru tidak berupaya untuk mengadakan fakta atau objek maujud itu, guru hendaklah menggunakan uslub lain yang mampu memberi gambaran yang jelas kepada murid-murid sehingga mereka berjaya mencerap fakta yang ingin disampaikan.

    3.    Guru juga hendaklah menggunakan bahasa yang paling mudah untuk difahami oleh murid-murid. Penjelasan guru haruslah bermula daripada umum kepada khusus terutamanya bagi murid-murid sekolah rendah. Dengan kata lain guru hendaklah menyampaikan asas kepada fakta yang ingin disampaikan sebelum menyampaikan cabang-cabang yang lebih luas dan mendalam.
`
    SISTEM PENDIDIKAN INI TIDAK AKAN MENCAPAI MATLAMATNYA SELAGI SISTEM YANG MENAUNGI UMAT HARI INI ADALAH SISTEM SEKULAR. NAMUN, SEBAGAI GURU KITA TIDAK PERLU TUNDUK DENGAN KEBIADAPAN SEKULAR. LETAKKAN KETAKWAAN KITA DALAM MENDIDIK ANAK MURID KITA.JADIKAN ISLAM SEBAGAI SISTEM YANG MENGATUR KITA DALAM APA CARA SEKALIPUN WALAUPUN ORANG AKAN LIHAT KITA SEBAGAI GURU YANG PELIK DAN MELAWAN ARUS
      Dalam riwayat al-Imam Ahmad, Nabi s.a.w bersabda:
“Beruntunglah golongan ghuraba` (yang asing atau pelik)”. Ditanya baginda: “Siapakah mereka yang ghuraba itu wahai Rasulullah?”. Jawab baginda: “Golongan yang soleh dalam kalangan ramai yang jahat, yang menentang mereka lebih ramai daripada yang mentaati mereka”. (dinilai sahih oleh Ahmad Shakir).
     ~Hidup ini bukan untuk dinilai oleh manusia, tetapi untuk dinilai oleh Allah. Hidup ini bukan untuk mencari redha manusia, tetapi untuk meraih redha Allah~



















Wajarkah Untuk Rasa Cemburu?



Pernah rasa cemburu? Apkah rasanya? Manis macam gula-gula? Atau masam? Atau tawar? Atau pahit macam panadol? Jika rasanya manis, ia pasti bukan cemburu… Kalau rasanya tawar, ia juga bukanlah cemburu… Cemburu tidak akan datang jika perasaan kita pada waktu itu manis seperti gula.

Salah ke rasa cemburu?
Adakah salah memiliki rasa cemburu? Berdosa ke jika cemburu? Aisyah ra juga seorang yang cemburu.  Aisyah cemburu kepada Khadijah walaupun mereka tidak pernah bertemu. Perkara ini terjadi kerana Rasulullah sering menyebut-nyebut kebaikan Khadijah dan daripada Khadijahlah Rasulullah memperoleh keturunan.

Siapa tidak cemburu jika suaminya memuji isterinya yang lain? Wajarlah rasa cemburu itu… jika cemburu itu salah, pastilah Rasulullah sudah menegur sikap Aisyah ra.

Pernah satu hari, salah seorang isteri Nabi mengirim makanan kepada Rasulullah saw ketika baginda berada di rumah Aisyah. Akibatnya Aisyah cemburu dan tersinggung. Apa yang berlaku seterusnya? Aisyah telah menumpahkan mangkuk makanan yang dihantar kepada Rasulullah saw itu sehingga pecah. Adakah Rasulullah marah kepada Aisyah? Tidak. Rasul saw  tersenyum, lalu mengambil mangkuk yg baru dan mengembalikannya pada isterinya yg mengirim makanan tersebut.

Pastilah cemburu apabila ada perempuan lain yang mencintai suami kita.. Tapi jika kita berfikir lebih positif, kita sepatutnya berasa syukur kerana madu-madu kita adalah orang yang baik dan mencintai suami sepenuh hati. Tapi, ini bukan hal mudah. Bukan hal yang mudah untuk menangani rasa cemburu kerana kita sememangnya berhak untuk rasa cemburu kepada suami dan suami juga berhak untuk cemburu kepada isteri.



Ketika Rasulullah menikah dengan Shafiyah binti Huyai timbul kecemburuan dalam diri Hafshah dan berkata, “Dia adalah anak Yahudi”. Shafiyah terdengar lalu menangis. Kemudian Rasulullah menghiburkan hatinya dengan mengatakan, “Ketahuilah bahawa engkau adalah keturunan seorang nabi, bapa saudaramu adalah seorang nabi, dan engkau sekarang berada di bawah naungan seorang nabi. Wahai Hafshah, bertakwalah kepada Allah”.

Zubair bin Awwam juga seorang yang kuat cemburunya terhadap isterinya, iaitu Asma’ Binti Abu Bakar. Semasa mereka menikah Zubair Bin Awwam adalah seorang yang miskin. Beliau hanya memiliki seekor unta dan seekor kuda. Menjadi kebiasaan bagi Asma’ membuatkan roti bagi suaminya, tetapi beliau tidak pandai mengadun roti. Jadi, beliau perlu meminta pertolongan orang lain yang berjarak 8km daripada rumahnya. Suatu saat ketika Asma’ membawa biji gandum untuk dibuatkan adonan roti, beliau telah bertemu  dengan rombongan Rasulullah Shalallahu ‘alaih wa salam. Dan Rasulullah menawarkan tunggangan kepada Asma’. Namun, ditolak oleh Asma’ walaupun Asma’ terpaksa berjalan dengan jarak yang jauh. Asma’ telah mengatakan kepada Rasulullah saw bahawa kalaulah bukan karena kecemburuan suaminya, tentu Asma’ akan menerimanya. Asma’ berkata, “Sesungguhnya Zubair itu adalah seorang yang sangat pencemburu”. Ketika Asma’ telah tiba di rumah dan menceritakan kejadian ini kepada Zubair bin Awam, Zubair mengatakan, “Sungguh engkau berjalan dengan kakimu lebih aku cintai daripada engkau berjalan dengan khalifah Rasulullah”.

Seorang suami juga sangat berhak untuk berasa cemburu. Maka, wajarlah rasa cemburu ini dan tidaklah berdosa. Namun, bagaimana jika cemburu kepada yang lainnya? Cemburu antara pasangan kekasih? Adakah ia juga wajar? Mencintai yang bukan mahram itu juga sudah tidak wajar, apatah lagi ingin rasa cemburu. Memang tidak berhak! Maka, cemburu itu harus ditempatkan kepada yang berhak seperti suami mencemburi isterinya dan isteri mencemburui suaminya. Namun, cemburu ini harus juga dikawal dan diselesaikan dengan cara yang terbaik . Jangan biarkan syaitan hanyutkan diri kita dengan rasa cemburu yang tidak terkawal kerana ia akan menyebabkan musibah yang lebih besar terutamanya kepada pasangan suami isteri.



Jika ketika ini kita punya rasa cemburu kepada orang yang salah, maka kita harus bersabar dengan cemburu itu dan menjaganya kerana kita masih belum berhak untuk rasa cemburu. Dan jika ketika ini kita sedang cemburu pada suami atau isteri kita, maka didiklah rasa cemburu itu agar tunduk pada ketakwaan dan kebijaksanaan akal. Jika cemburu itu boleh diselesaikan dengan perhatian dan kasih sayang, maka berilah perhatian dan kasih sayang. Jika cemburu itu boleh dilenturkan dengan kelembutan, maka lenturkanlah dengan kelembutan.Jangan biarkan cemburu menundukkan kewarasan dan ketakwaan kita. Jangan biarkan cemburu meruntuhkan kerukunan rumah tangga kita. Atau dengan erti kata lain, pastikan cemburu kita tidak melebihi paras bahaya ^_^

syukran,

Selasa, 6 Disember 2011

Hukum wanita Muslimah menampakkan auratnya di hadapan wanita kafir

Pada dasarnya para ulama berbeza pendapat mengenai kebolehan wanita Muslimah menampakkan auratnya di hadapan wanita-wanita kafir. Jumhur ulama berpendapat, seorang wanita Muslimah dilarang terlihat auratnya di hadapan wanita-wanita kafir. Sedangkan ulama lain berpendapat sebaliknya, iaitu bolehnya seorang wanita Muslimah terlihat auratnya di depan wanita kafir.[1] 

Perbezaan pendapat di antara mereka disebabkan kerana perbezaan pendapat dalam mentafsirkan frasa ”nisaa`i hinna” dalam Surah An Nuur (24):31. Sebahagian ulama mengkhususkan wanita pada konteks ayat tersebut pada wanita-wanita Mukminat saja, atau wanita-wanita yang memiliki hubungan syubhah (persahabatan yang akrab) dan wanita-wanita yang menjadi hamba atau pembantunya. Sedangkan ulama lain mengertikan frasa ”nisaa`i hinna” pada ayat itu secara mutlak, terkena untuk semua wanita, sama ada Mukminat mahupun kaafirah (wanita kafir), tanpa ada pengkhususan.


Imam Ar Raziy di dalam Tafsirnya menyatakan; juz 11, 307

قوله تعالى : { أَوْ نِسَائِهِنَّ } وفيه قولان : أحدهما : المراد والنساء اللاتي هن على دينهن ، وهذا قول أكثر السلف . قال ابن عباس رضي الله عنهما : ليس للمسلمة أن تتجرد بين نساء أهل الذمة ولا تبدي للكافرة إلا ما تبدي للأجانب إلا أن تكون أمة لها لقوله تعالى : { أَوْ مَا مَلَكَتْ أيمانهن } وكتب عمر إلى أبي عبيدة أن يمنع نساء أهل الكتاب من دخول الحمام مع المؤمنات وثانيهما : المراد بنسائهن جميع النساء ، وهذا هو المذهب وقول السلف محمول على الاستحباب والأولى

“Adapun firman Allah Subhanahu wa Taalaau nisaa`i hinna”, ada dua pentafsiran terhadap frasa ini;
Pertama: yang dimaksudkan “wanita-wanita” di sini adalah yang seagama. Ini adalah pendapat majoriti ulama salaf. Ibnu ‘Abbas radhiallahu anhu berkata, “Seorang wanita Muslimah tidak boleh menyendiri di antara ahlu zimmah, dan ia tidak boleh menampakkan auratnya di hadapan wanita kafir, sebagaimana ia tidak boleh menampakkannya di hadapan laki-laki asing, kecuali wanita kafir itu adalah hamba miliknya; berdasarkan firman Allah Subhanahu wa Taala, ”au maa malakat aimaanihinna” [kecuali kepada hamba-hamba yang mereka miliki]. Dan Umar pernah mengirim surat kepada Abu ’Ubaidah radhiallahu anhu untuk melarang wanita-wanita ahlul Kitab masuk ke permandian umum bersama dengan wanita-wanita Mukminat.

Kedua: yang dimaksudkan dengan wanita-wanita di sini adalah semua wanita. Ini adalah pendapat yang terpilih dan pendapat ulama salaf perlu dibawa kepada ”sesuatu yang dipandang baik”. [Imam Abu Abdullah Mohammad bin ’Umar bin al-Hasan bin Husain al-Taimiy al-Raaziy (Imam Fakhrud Diin Ar Raaziy, Mafaatiih al-Ghaib, juz 11, hal. 307]


Imam An Nasafiy dalam Tafsir An Nasafiy menyatakan:

أَوْ نِسَائِهِنَّ } أي الحرائر لأن مطلق هذا اللفظ يتناول الحرائر}

“[Au Nisaa`i hinna], yakni al-haraa’ir (wanita-wanita merdeka), disebabkan kemutlakan lafaz ini mencakup wanita-wanita merdeka”. [Imam An Nasaafiy, Tafsir An Nasafiy, juz 2, hal. 411]


Imam Asy Syaukaniy di dalam Kitab Fath al-Qadir menyatakan:
Makna dari frasa (au nisaa`i hinna): adalah khusus bagi wanita-wanita yang memiliki pergaulan erat dengan wanita tersebut kerana hubungan al-khidmah (pertolongan: menjadi pembantu wanita itu) atau syubhah (persahabatan); termasuk ke dalam pengertian frasa ini adalah al-imaa’ (hamba wanita-wanita). Dan di luar dari makna frasa ini, wanita-wanita kafir dari golongan ahlu zimmah, dan wanita-wanita kafir lainnya. Tidak halal bagi wanita Muslimah menampakkan perhiasannya kepada mereka (wanita-wanita kafir), supaya wanita-wanita kafir itu tidak menceritakan aurat wanita Muslimah kepada kaum laki-laki. Dalam masalah ini terdapat perbezaan pendapat di kalangan ahli ilmu. Namun, menisbahkan (meng-idhafahkan) kepada ‘ilaihinna’ menunjukkan bahawa hal itu khusus untuk wanita-wanita Mukminat”.[Imam Asy Syaukaniy, Fath al-Qadiir, juz 5, hal. 209]

Imam Al Baghawiy di dalam Tafsir al-Baghawiy menyatakan:
Firman Allah Subhanahu wa Taala [au nisaa`i hinna], maksudnya, sesungguhnya Allah membolehkan seorang wanita melihat badan wanita lain, selain antara pusat dan lutut, sebagaimana laki-laki yang menjadi mahram. Ketentuan ini dapat dikenakan jika wanita tersebut Muslimah. Namun jika wanita itu adalah wanita kafir, bolehkah seorang wanita Muslimah menampakkan auratnya di hadapan mereka (wanita kafir)? Ahli ilmu berselisih pendapat dalam masalah ini. Sebahagian mereka berpendapat, boleh sebagaimana bolehnya wanita Muslimah menampakkan auratnya di hadapan wanita Muslimah lainnya. Kerana, wanita kafir termasuk wanita (nisaa`i hinna). Sebahagian yang lain berpendapat tidak boleh. Sebab, Allah Subhanahu wa  berfirman, ”Nisaa`i hinna” (wanita-wanita kami), sedangkan wanita kafir bukan termasuk wanita-wanita kami; dan selain itu mereka berbeza agama. Oleh kerana itu, wanita kafir justeru lebih jauh dibandingkan laki-laki asing. Umar bin Khaththab ra pernah mengirim surat kepada Abu ’Ubaidah bin Jarah untuk melarang wanita-wanita Ahlul Kitab masuk ke dalam permandian umum bersama wanita-wanita Muslimah”.[Imam Al Baghawi, Tafsir al-Baghawi, juz 6, hal. 35]

Imam Ibnu Katsir di dalam Tafsir Ibnu Katsir menyatakan:
Firman Allah Subhanahu wa Taala [au nisaa`ihinna], maksudnya adalah, seorang wanita Muslimah juga dibolehkan menampakkan perhiasannya (auratnya) kepada wanita-wanita Muslimah, namun tidak boleh kepada ahlu zimmah (wanita-wanita kafir ahlu zimmah); agar wanita-wanita kafir itu tidak menceritakan aurat wanita-wanita Muslimah kepada suami-suami mereka. Walaupun hal ini mesti dihindari (mahdzuuran) pada semua wanita, akan tetapi kepada wanita ahlu zimmah lebih ditekankan lagi. Sesungguhnya tidak ada larangan mengenai masalah ini (menceritakan aurat wanita lain) bagi wanita ahlu zimmah. Adapun untuk wanita Muslimah, sesungguhnya, dia memahami bahawa hal ini (menceritakan aurat wanita lain kepada suaminya) adalah haram. Oleh kerana itu, hendaknya dia menjaga diri dari hal tersebut. Rasulullah Sallallahu alaihi wa Sallam bersabda, ”Janganlah seorang wanita menampakkan auratnya di hadapan wanita lain, yang kemudian dia menceritakannya kepada suaminya, sehingga seakan-akan suaminya melihat aurat wanita itu”.[HR. Bukhari dan Muslim dari Ibnu Mas’uud]. [Imam Ibnu Katsir, Tafsir Ibnu Katsir, juz 6, hal. 48].


Selanjutnya Imam Ibnu Katsir mengetengahkan beberapa riwayat yang menyatakan bahawa Umar bin Khaththab radhiallahu anhu pernah berkirim surat kepada Abu ’Ubaidah radhiallahu anhu melarang wanita-wanita kafir masuk ke permandian-permandian umum bersama wanita Muslimah. Mujahid, dan Ibnu ’Abbas juga melarang wanita Muslimah menampakkan auratnya di hadapan wanita-wanita kafir. [Ibidem, juz 6, hal. 48]

Prof. Mohammad Ali As Saayis di dalam Kitab Tafsiir Ayaat al-Ahkaam menyatakan,

Wanita Muslimah dibolehkan menampakkan sebahagian perhiasannya kepada wanita kafir, sebagaimana dia dibolehkan menampakkannya di hadapan wanita Muslimah. Ini adalah salah satu pendapat dari dua pendapat dari kalangan Hanafiyyah dan Syafi’iyyah. Imam Ghazali membenarkan pendapat ini dari ulama Syafi’iyyah dan Imam Abu Bakar Ibnu al-’Arabiy. Sedangkan ulama-ulama lain berpendapat bahawa yang dimaksudkan dengan ”nisaa`i hinna”, adalah khusus untuk wanita-wanita Mukminat. Oleh kerana ”idhafah” ditujukan untuk mengkhususkan; maksudnya khusus untuk wanita-wanita yang memiliki hubungan syubhah (persahabatan) dan ikhwah (persaudaraan) dalam agama. Dengan demikian, wanita Muslimah tidak boleh menampakkan sebahagian perhiasannya yang tertutup kepada wanita kafir. Pendapat ini disandarkan kepada majoriti ulama Syafi’iyyah. Abu Sa’ud berkata dari ulama Hanafiyyah, bahawa dia mensahihkan (membenarkan) dua pendapat ini di dalam mazhabnya”[Prof Mohammad Ali al-Saayis, Tafsiir Ayaat al-Ahkaam, hal. 164]

Demikianlah, para ulama telah berbeza pendapat mengenai hukum seorang wanita Muslimah menampakkan auratnya di hadapan wanita kafir. Lalu, pendapat mana yang rajih (kuat)?
Pendapat Yang Rajih
Pendapat yang rajih dalam masalah ini adalah pendapat yang dinyatakan oleh Imam Ibnu al-’Arabi, Imam Al-Ghazali, menyatakan bahawa seorang wanita Muslimah diperkenankan memperlihatkan atau terlihat auratnya di hadapan wanita kafir.

Ini adalah kerana dhamir (kata ganti) pada ayat ini berfungsi sebagai al ittibaa’ (untuk mengikuti) dan menggantikan kedudukan al-niswah atau al-nisaa’ (wanita). Syaikhul Mufassiriin, Imam Ibnu Al ’Arabiy menyatakan bahawa pada ayat di atas (surat An Nur:31) memiliki lebih dari 25 dhamir (kata ganti) yang di dalam al-Quran tidak diketahui apakah ia punya kesamaan. Oleh kerana itu, dhamir ini disebut kembali untuk tujuan “ittibaa”.

Selain itu, idhaafah pada frasa ”nisaa`i hinna” bukan ditujukan kepada penyeru maknawi (daa’ ma’nawi), akan tetapi ditujukan untuk penyeru lafdziy (daa’ lafdziy) untuk menjamin kefasihannya. Kes ini sama dengan dua dhamir (dua kata ganti) yang di-idhafah-kan kepada dua dhamirnya; seperti firman Allah Subhanahu wa Taala

فَأَلْهَمَهَا فُجُورَهَا وَتَقْوَاهَا

Maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketakwaannya”. [TMQ Asy Syams (91): 8].


Maksud ayat ini adalah; “alhamahaa al-fujuur wa al-taqway” (Allah mengilhamkan kefasikan dan ketakwaan”). Atas dasar itu peng-idhafah-an keduanya kepada dua dhamir untuk mengikuti (ittibaa’) dhamir-dhamir yang terdapat di awal surat tersebut, iaitu ”wasy syamsi wa dhuhahaa”. [TMQ Asy Syams (91):1]. Kes lain yang sama, terdapat dalam firman Allah SWT;
(Kaum) Tsamud telah mendustakan (rasulnya) kerana mereka melampaui batas”. [TMQ Asy Syams (91): 11].

Maksud frasa “bithaghwaahaa” pada ayat ini adalah, ”bi al-thughway” atau ”al-thughyaani”. Oleh kerana itu, penyebutan dhamir Tsamud tidaklah perlu, akan tetapi, ia tetap disebutkan ”li muhsin al-muzaawijah” (memperelokkan pasangannya).

Adapun riwayat-riwayat yang diketengahkan para fuqaha seperti riwayat-riwayat berikut ini;


“Dari Ibnu ‘Abbas radhiallahu anhu : [au nisaa`ihinna], dia berkata, “Dia adalah wanita-wanita Muslimat yang tidak boleh menampakkan auratnya kepada wanita-wanita Yahudi dan Nasrani, yakni leher, anting-anting, dan, selempang, dan bahagian-bahagian yang tidak boleh dilihat kecuali mahramnya sahaja”.[HR Sa’id bin Manshuur, Ibnu Mundzir, dan Imam Baihaqi di dalam Sunannya]

“Sa’id meriwayatkan, “Jarir telah meriwayatkan kepada kami, dari Laits, dari Mujahid, bahawasanya dia berkata, “
Janganlah seorang wanita Muslimah melepaskan tudung kepalanya di hadapan wanita musyrik. Sebab, Allah Subhanahu wa Taala berfirman, “au nisaa`ihinna”, dan wanita musyrik bukanlah termasuk “nisaa`ihinna”.

“Dari Makhuul dan ‘Ubadah bin Nusayyi dituturkan bahawasanya keduanya membenci jika seorang wanita Nasrani, Yahudi, atau Majusi mencium wanita Muslimah”.

“Dari Umar bin Khaththab radhiallahu anhu dituturkan bahawasanya dia pernah mengirim surat kepada Abu ’Ubaidah radhiallahu anhu, ”Amma ba’du. Sesungguhnya, telah sampai khabar kepadaku, bahawasanya ada sebahagian wanita Muslim masuk ke dalam permandian-permandian umum bersama dengan wanita Musyrik, laranglah orang-orang yang ada di bawah tanggungjawab mu dari hal itu. Sesungguhnya, tidak halal bagi seorang wanita yang beriman kepada Allah dan hari Akhir untuk dilihat auratnya, kecuali oleh wanita yang seagama”.[HR Ibnu Abi Syaibah, dan Ibnu Mundzir];

Sesungguhnya riwayat-riwayat seperti ini tidak absah digunakan sebagai hujah. Ini adalah kerana semua riwayat di atas mauquf tidak marfu’. [Mauquf adalah hadis yang sanadnya tidak sampai kepada Nabi manakala marfu’ adalah hadis yang sanadnya sampai kepada Nabi]. Sedangkan berhujah dengan hadis mauquf adalah tertolak sama-sekali. Ini bukan bermaksud bahawa hadis itu tertolak, tetapi berhujah dengannya (menjadikannya sebagai sumber hukum) adalah tertolak.

Dengan demikian, pendapat rajih dalam masalah ini adalah pendapat yang dinyatakan oleh Imam Ibnu al-’Arabi, dan ulama-ulama lain yang sejalan dengan pendapatnya.

Batasan Aurat Yang Boleh Dilihat

Pada dasarnya, Surah An Nur (24):31 tidak memberikan batasan yang tegas mana aurat wanita yang boleh terlihat di hadapan wanita-wanita kafir. Hanya saja, seorang wanita Muslimah mesti menjaga kehormatan dirinya dengan tidak membuka aurat yang tabu (seperti payudara, kemaluan, paha, dan lain sebagainya) di hadapan wanita-wanita kafir. Hendaklah dia mengenakan pakaian yang sopan dan tidak merendahkan maruah dirinya.

Jika seorang wanita berada dalam kehidupan umum, maka dia wajib menutup auratnya, dan mengenakan jilbab dan memakai tudung (khimar). Ini adalah kerana syariat telah mewajibkan wanita Muslim menutup aurat dan mengenakan pakaian Islami (jilbab dan khimar) di kehidupan umum; tanpa memandang lagi dengan siapa dia berinteraksi. Ketentuan ini adalah berdasarkan firman Allah Subhanahu wa Taala:

“Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dada mereka.” [TMQ an-Nur (24):31]

Ayat ini mengandungi  perintah dari Allah Subhanahu wa Taala agar wanita mengenakan khimar (tudung), yang dapat menutup kepala, leher, dan dada.

Imam Ibnu Mandzur di dalam kitab Lisaanal-’Arab menuturkan; al-khimaar li al-mar`ah: al-nashiif (khimar bagi perempuan adalah al-nashiif (penutup kepala). Ada pula yang menyatakan; khimar adalah kain penutup yang digunakan wanita untuk menutup kepalanya. Bentuk plural (jamak)nya adalah akhmirah, khumr atau khumur. [2]

Sedangkan perintah mengenakan jilbab disebutkan dengan sarih melalui firman Allah Subhanahu wa Taala;
 

Hai Nabi katakanlah kepada isteri-isteri mu, anak-anak perempuan mu dan isteri-isteri orang mukmin: “Hendaklah mereka menghulurkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka”. Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenali, kerana itu mereka tidak diganggu. Dan Allah adalah Maha pengampun lagi Maha penyayang”. [TMQ al-Ahzab (33):59]

Ayat ini merupakan perintah yang sangat jelas kepada wanita-wanita Mukminat untuk memakai jilbab. Adapun yang dimaksudkan dengan jilbab adalah milhafah (baju terus dari atas ke  bawah  seakan jubah) dan mula’ah (kain panjang yang tidak berjahit seakan  selimut). Di dalam kamus al-Muhith dinyatakan, bahawa ‘jilbab’ itu seperti sirdaab (terowongan) atau sinmaar (lorong), yakni baju atau pakaian longgar bagi wanita  selain baju kurung atau kain apa saja yang dapat menutup pakaian sehariannya seperti jubah.[Kamus al-Muhith].

Sedangkan dalam kamus al-Shahhah, al-Jauhari mengatakan, “jilbab adalah kain panjang dan longgar (milhafah) yang sering disebut dengan mula’ah (jubah).”[Kamus al-Shahhah, al-Jauhariy]
Selain wajib memakai tudung (khimar) dan jilbab, wanita Muslimah juga dilarang bertabarruj ketika berada di kehidupan umum. Tabarruj adalah bersolek yang berlebihan untuk memperlihatkan kecantikan dirinya. Allah Subhanahu wa Taala telah melarang tabarruj. Allah  berfirman;

Perempuan-perempuan tua yang telah berhenti haid dan kehamilan yang tidak ingin menikah lagi, tidaklah dosa atas mereka menanggalkan pakaian (luar) mereka tanpa bermaksud menampakkan perhiasannya (tabarruj).” [TMQ an-Nur (24):60]

Jika wanita tua dilarang untuk tabarruj, lebih-lebih  lagi wanita yang belum tua dan masih mempunyai keinginan untuk menikah.

Imam Ibnu Mandzur, dalam Lisaan al-’Arab menyatakan, “Wa al-tabarruj : idzhaar al-mar`ah ziinatahaa wa mahaasinahaa li al-rijaal (tabarruj adalah menampakkan perhiasan dan anggota tubuh untuk menaruh perhiasan kepada lelaki-lelaki bukan mahram).”[3]

Inilah batasan-batasan yang mesti difahami oleh wanita Muslimah ketika dia berada dalam kehidupan umum.


Wallahu a’lam bi sawab.

________________________________________
[1] Imam Ibnu ‘Asyuur, al-Tahriir wa al-Tanwiir, juz 9, hal. 471; Imam Asy Syaukaniy, Fath al-Qadiir, juz 5, hal. 209; Imam al-Baghawiy, Tafsir al-Baghawiy, juz 6, hal. 35; Imam al-Mawardiy, al-Naktu wa al-‘Uyuun, juz 3, hal. 169; Imam al-Khazin, Lubaab al-Ta’wiil fi Ma’aaniy al-Tanziil, juz 4, hal. 500; dan sebagainya.
[2] Imam Ibnu Mandzur, Lisaan al-’Arab, juz 4/257
[3] Imam Ibnu Mandzur, Lisaan al-’Arab, juz 2/212; Tafsir Qurthubiy, juz 10/9; Imam al-Raaziy, Mukhtaar al-Shihaah, hal.46; Imam Syaukaniy, Fath al-Qadiir, juz 3/125; Imam Suyuthiy, Tafsir Jalalain, juz 1/554; al-Jashshash, Ahkaam al-Quran 2, juz 5/230; Imam al-Nasafiy, Tafsir al-Nasafiy, juz 3/305; Ruuh al-Ma’aaniy, juz 22/7-8; dan sebagainya