HOME

Ahad, 4 Disember 2011

Wahai mahasiswa, penuhi cita-citamu, namun, utamakanlah kewajipanmu!



Pada 18 oktober yang lalu, secara rasminya cempaka telah berjaya menamatkan pengajian dalam Bachelor Pendidikan (Pengajaran Bahasa Malaysia sebagi Bahasa Pertama) di UPM. Alhamdulilah..cempaka akhirnya berjaya mengharungi suka dan duka di UPM selama 4 tahun.

Akhirnya cempaka berjaya meraih segulung ijazah yang dikejar selama ini... Tetapi, benarkah cempaka sudah berjaya? Adakah benar ijazah ini menjadi satu lambang kejayaan kepada Cempaka dan para mahasiswa lainnya? 






 Bergelar Mahasiswa adalah satu Impian

Bergelar seorang mahasiswa pastinya membuka satu lembaran baru dalam meniti kehidupan yang lebih bermakna dalam diri kita semua. Seribu impian tersirat dihati. Harapan ibu bapa  menjadi motivasi. Pesanan guru menjadi  nadi penggerak diri. Semuanya menjadi pembakar semangat untuk menggapai sebuah impian. Bakal jurutera, doktor, wartawan, businessman, arkitek, akauntan, guru dan pensyarah meneruskan langkah ke menara gading sebagai medan terakhir sebelum menggapai impian masing-masing. Demi sebuah impian, masa, kudrat dan wang ringgit menjadi pengorbanan. Semuanya demi sebuah impian untuk menjadi seorang yang hebat dalam kerjaya. Lebih memotivasikan, profesion-profesion ini menjanjikan satu taraf hidup yang profesional dan menjamin kehidupan yang lebih mewah dan gah. Impian yang lebih besar mula terlakar. Harrier, perdana V6, Mazda 2 VS Ford Fiesta dan sekurang-kurangnya sebuah kereta myv menjadi pemangkin perjuangan seorang mahasiswa. Begitu juga impian untuk memiliki sebuah tempat berteduh yg indah dan selasa pasti menjadi angan-angan kita semua. Demi memenuhi impian keluarga, guru dan keinginan diri sendiri, mahasiswa sering diingatkan daripada pelbagai pihak agar hanya memberi fokus kepada pelajaran dan mengetapikan hal-hal lain.

Benarkah begitu? Adakah gelaran mahasiswa mampu memadamkan kewajipan seorang muslim dalam diri kita? Adakah wajar kita memberi alasan “ aku sedang belajar” untuk kita pausekan sekejap kewajipan-kewajipan kita yang lain?


Kewajipan Mahasiswa Islam

1. Menuntut ilmu
Allah Subhanahu wa Taala mewajibkan setiap Muslim  untuk menuntut ilmu dan mendapatkan pelbagai ilmu yang diperlukannya dalam menjalani kehidupan di atas muka bumi ini walaupun bukan sebagai seorang mahasiswa.

Allah  SWT telah menjelaskan dalam al-Quran, firman-Nya yang bermaksud: “Hai orang-orang beriman apabila dikatakan kepadamu: "Berlapang-lapanglah dalam majlis", maka lapangkanlah nescaya Allah akan memberi kelapangan untukmu. Dan apabila dikatakan: "Berdirilah kamu", maka berdirilah, nescaya Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” [TMQ al-Mujaadilah (58):11].

Dan dalam sebuah hadis juga dengan jelas menyebut:
Menuntut ilmu wajib bagi setiap Muslim” [HR Ibnu Adi dan Baihaqi]

Oleh itu, jelas kewajipan menuntut ilmu itu wajib untuk ke atas setiap musllim tanpa mengira sama ada seseorang itu mahasiswa universiti atau tidak. Namun, timbul satu lagi persoalan, iaitu ilmu apakah yang menjadi kewajipan bagi seorang muslim untuk direbut? Imam Al Ghazali dalam Ihya Ulumuddin, dalam bab Ilmu, menjelaskan bahawa berdasarkan takaran kewajipannya, ilmu dibahagikan kepada dua kategori.

Pertama, ilmu fardhu ain yang wajib dipelajari oleh setiap Muslim. Ilmu fardhu ain termasuklah ilmu-ilmu tsaqafah Islam, seperti pemikiran, fekah, bahasa arab, sirah nabawiyah, al-Quran, al-Hadis dan sebagainya.

Kedua, ilmu yang dikategorikan sebagai fardhu kifayah, iaitu ilmu yang wajib dipelajari oleh sebahagian sahaja daripada umat Islam. Ilmu fardhu kifayah termasuklah ilmu-ilmu kehidupan yang mencakup ilmu pengetahuan dan teknologi serta keahlian. Contohnya, ilmu kimia, biologi, fizik, kedoktoran, pertanian, teknikal dan sebagainya.

Bagaimana mahasiswa? Sudah mantapkah bahasa arab kalian? Sudah dikaji ilmu fiqih, al-Quran dan al-hadis?

2.  Menunaikan Seluruh  Ajaran Islam
Dalam kesibukan menjalani kehidupan sebagai seorang mahasiswa, kewajipan-kewajipan lain mesti ditunaikan bertepatan dengan ajaran Islam.

Aku tidak menciptakan Jin dan Manusia melainkan agar mereka beribadah kepadaKu.” [TMQ Adz-Zariyat (51):56]

Mahasiswa adalah manusia dan manusia dijadikan semata-mata untuk beribadah kepada Dia.
Firman Allah SWT: Katakanlah (Muhammad)!. Sesungguhnya aku diperintahkan agar menyembah Allah dengan penuh ketaatan kepadaNya dalam menjalankan agama.” 
[TMQ az Zumar (39) : 11]

Seorang mahasiswa tetap wajib melaksanakan tanggungjawabnya sebagai seorang anak kepada kedua-dua orang tuanya, menunaikan kewajipan solat, puasa, dan zakat. Kewajipan menutup aurat juga tidak gugur kepada mahasiswa. Begitu juga kewajipan-kewajipan lain yang tertaklif ke atas semua umat Islam. Namun, fesyen pada hari ini sering mengganggu gugat jiwa-jiwa mahasiswa yang semakin gila kepada fesyen. Lihat sahaja pakaian mahasiswa ketika ke kuliah, ke shopping complex, ke food court dan ke tempat-tempat lain. Sering mahasiswa hanya mengenakan  t-shirt lengan pendek dan berseluar jean ketat, malah ada yang tidak bertudung dan mengenakan pakaian yang mengikut bentuk badan. Kemudian, berboncengan naik motosikal dengan si buah hati.

Ingatlah mahasiswa, kita semua adalah manusia ciptaan Allah yang tetap terbeban dengan tanggungjawab melaksanakan segala perintahnya sama ada kita suka atau tidak.
Sesiapa yang beramal dengan suatu amalan yang bukan dari urusan kami, maka ia tertolak ”  [HR Bukhari]



3. Berdakwah
Kita sering beranggapan bahawa dakwah hanya milik ustaz dan ustazah. Tidak ada nas, baik dalam Al-Quran mahupun Al-Hadis yang menunjukkan bahawa dakwah itu adalah kewajipan yang terkena ke atas individu-individu atau kelompok-kelompok tertentu sahaja. Sebagaimana solat dan puasa, dakwah adalah satu fardhu ‘ain yang wajib dilakukan oleh setiap orang yang mengucap syahadah. Tidak ada beza di antara pekerja kilang, ahli korporat, pelajar, peguam, polis, tentera, rakyat, pemerintah, miskin, kaya, baik lelaki atau wanita kesemuanya dibebankan oleh Allah dengan kewajipan yang sama termasuklah kepada mahasiswa. Kewajipan berdakwah adalah termasuk di dalam hal yang maklum minaddin bi dharurah. Maksudnya, tidak ada seorang pun yang boleh berhujah di hadapan Allah di akhirat kelak bahawa dia tidak melakukan dakwah kerana tidak tahu akan kewajipannya!

Walaupun kewajipan dakwah adalah terlalu jelas, namun terdapat segelintir dari umat Islam yang langsung tidak berdakwah. Kejahilan telah membelenggu mereka menyebabkan mereka menganggap bahawa solat dan puasa itu wajib, tetapi dakwah tidak. Sebahagian yang lain pula benar-benar menjaga solat mereka, tetapi tidak pernah menjaga dakwah mereka. Mereka solat secara konsisten, tetapi tidak pernah berdakwah secara konsisten. Mereka menganggap dakwah hanyalah aktiviti part time yang hanya akan dilakukan bila perlu dan jika ada masa lapang. Ada sebahagian yang lain memberikan alasan ‘tidak cukup ilmu’ untuk berdakwah. Anehnya, mereka ini dalam masa yang sama tidak pula berusaha untuk menuntut ilmu, walaupun menuntut ilmu itu jelas-jelas diwajibkan oleh Islam. Apabila diajak untuk mempelajari ilmu Islam ataupun berdakwah, pelbagai alasan diberikan, walhal dalam masa yang sama mereka boleh menghabiskan masa di gelanggang futsal setiap minggu, menonton TV berjam-jam sehari, bermain golf sepanjang hari, melancong dan sebagainya.

Bagaimana mahasiswa? Adakah kita juga akan memberi seribu alasan duniawi untuk mengelak daripada melaksanakan dakwah? 

4. Berpolitik
Barang siapa (bangun) di pagi hari tidak memperhatikan urusan kaum Muslimin, maka dia tidak termasuk dari mereka (kaum Muslimin)” [HR Hakim].

Hadis ini menunjukkan bahawa berpolitik adalah wajib kepada setiap individu muslim. Apa itu politik menurut kaca mata Islam? Siyasah (politik) mengikut pengertian bahasa adalah pemeliharaan (pengurusan) kepentingan manakala siyasah menurut pengertia syar’ie bermaksud ri’ayah asy-syu’un al-ummah dakhiliyyan wa kharijiyan (mengatur/memelihara urusan umat sama ada dalam atau luar negeri) [Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani, Muqaddimah ad-Dustur]. Oleh itu, setiap umat Islam wajib memperhatikan dan campur tangan dalam urusan dan kepentingan umat Islam di seluruh dunia termasuklah membantah kekuasaan pemerintah yang tidak memerintah dengan syariat Islam seterusnya memuhasabah mereka.

Di dalam kewajipan berpolitik dan menyertai parti politik, Allah SWT tidak pernah membezakan taklif di antara Muslim, baik ia adalah seorang pelajar, pekerja, pesara, pemimpin, rakyat, seorang lelaki mahupun perempuan, kaya atau miskin dan sebagainya. Firman Allah,

“Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan (Islam), mengajak kepada yang makruf dan mencegah dari yang mungkar.” [TMQ Ali Imran (3):104].

Di dalam ayat ini, Allah SWT memerintahkan kaum Muslim mewujudkan setidak-tidaknya sebuah kutlah (jemaah/gerakan) yang menyeru kepada Islam dan melakukan amar makruf nahi mungkar. Menyeru kepada Islam dan melakukan amar makruf nahi mungkar sesungguhnya adalah kewajipan politik, tanpa mengira status sesama muslim.

Penutup
Kita adalah mahasiswa, maka, tidak sepatutnya menjadikan “tidak tahu’ sebagai satu alasan untuk tidak melaksanakan hukum-hakam yang telah diturunkan Allah SWT ini sebagai panduan dalam kehidupan seharian kita.  Sudah semestinya kita wajib mematuhi segala perintah Allah dan menolak segala hukum yang datang dari golongan kuffar.  Untuk memenuhi segala perintah dan hukum Syariat Islam ini, kita wajiblah mempelajari apakah hukum-hakam yang telah ditetapkan itu.

Dan tidaklah layak bagi lelaki mukmin dan perempuan-perempuan mukmin, apabila Allah dan rasulNya telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada pilihan yang lain bagi mereka tentang urusan mereka.  Dan barangsiapa menderhakai Allah dan RasulNya, maka sungguh, dia telah tersesat, dengan kesesatan yang nyata.”  [TMQ Al Ahzab (33) : 36]

Wahai mahasiswa, penuhi cita-citamu, namun, utamakanlah kewajipanmu!


syukran ^_^

1 ulasan: