Muqaddimah
Allah Subhanahu Wa
Ta’ala berfirman, yang bermaksud, “Dijadikan
indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, yaitu:
wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda
pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah
kesenangan hidup di dunia, dan di sisi Allahlah tempat kembali yang baik (syurga).”
[TMQ ali-‘Imraan (3):14]
Kebahagiaan yang dikecapi setelah mendirikan rumahtangga merupakan nikmat
daripada Allah Subhanahu Wa Ta’ala.
Kehidupan berumahtangga diharungi dengan sabar kerana ia dianggap sebagai
takdir atau jodoh yang telah ditentukan Allah dan merupakan detik yang dinanti-nanti.
Hidup terasa bagaikan indah belaka apabila sentiasa ada insan yang dicintai di
sisi. Ditambah pula dengan kelahiran anak yang digelar sebagai ‘cahaya mata’
menjadikan sesebuah keluarga itu sebagai satu institusi yang sempurna.
Namun, perlu diingatkan bahawa krisis kehidupan yang membelenggu kehidupan
manusia dalam sistem sekular-kapitalis tetap menjadi cabaran atau hambatan
kepada kesejahteraan dan keharmonian sesebuah keluarga. Fakta ini tidak dapat
dinafikan kerana sebagai orang yang beriman, Allah sentiasa akan menguji
manusia untuk menentukan tahap keimanan hamba-Nya. Firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala, yang bermaksud, “Apakah kamu mengira bahwa kamu
akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (cubaan) sebagaimana halnya
orang-orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa oleh malapetaka dan
kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam cubaan) sehingga
berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya: "Bilakah
datangnya pertolongan Allah?" Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu
amat dekat.” [TMQ al-Baqarah
(2):214]
Jika krisis dan cabaran ini gagal ditangani dengan sebenar-benar cara, maka
rumahtangga yang asalnya dibina atas alasan menunaikan sebahagian daripada
hukum agama akan menjadi mangsa keadaan. Ada pula yang mengenepikan
kewajipannya terhadap agama kerana leka dengan nikmat dunia atau menggadaikan
agamanya kerana desakan hidup. Jadi, tulisan ini bertujuan untuk memberi
gambaran kepada anda apakah rupa bentuk krisis-krisis tersebut iaitu antaranya krisis
sosial, ekonomi dan politik.
Krisis Ekonomi Benih Penyakit Wahn.
Pernikahan merupakan ikatan yang menyatukan dua hati dan
dua jiwa. Apabila ia telah bersatu, maka terbebanlah beberapa tanggungjawab ke
atas bahu keduanya. Suami berperanan sebagai pencari nafkah dengan berusaha
menyediakan makan minum, tempat tinggal dan pakaian yang mencukupi untuk isteri
dan anak-anak. Di saat ekonomi kapitalis menguasai kehidupan, setiap pemenuhan
keperluan tersebut menuntut perbelanjaan yang besar. Walaupun duit bukanlah
segala-galanya, tetapi segala-galanya memerlukan duit. Gaji atau pendapatan
yang diperoleh kadang-kadang tidak memadai.
Jadi, untuk terus menunaikan kewajipannya, si suami
terpaksa bekerja keras. Tidak cukup dengan over-time
(kerja lebih masa), suami mula berjinak-jinak dengan bisnes kecil-kecilan. Si
isteri yang berniat baik mahu membantu suami menampung perbelanjaan seisi rumah
juga keluar bekerja. Ditambah pula dengan ‘ugutan-ugutan’ daripada pejuang
feminis kononnya wanita perlu mempunyai pendapatan sendiri sebagai persediaan
jika suami berlaku tidak adil pada isteri atau persiapan menjadi ibu tunggal
setelah diceraikan suami.
Apabila kedua-duanya terbeban dengan komitmen kerja,
tanggungjawab pada agama seperti menuntut ilmu dan berdakwah mula terabai. Bahkan ada yang sampai meninggalkan solat,
ibadah yang merupakan tiang agama. Masa dan
tenaga banyak dihabiskan untuk kerja sehingga lupa pada kewajipan pada
Allah dan agama-Nya. Apabila masa menuntut untuk beramal soleh, majikan juga
menuntut komitmen pada kerja. Inilah cabaran bagi keluarga yang hidup dalam
sistem ekonomi kapitalis. Namun, ingatlah perintah Allah, “Maka apabila kamu telah selesai (dari sesuatu urusan), kerjakanlah
dengan sungguh-sungguh (urusan) yang lain.” [TMQ Alam Nasyrah (94):7]. Allah menuntut kita berusaha
bersungguh-sungguh dalam setiap aktiviti kita. Setelah selesai bekerja keras
mencari nafkah, bersungguh-sungguhlah pula dalam melaksanakan amal soleh yang
lain termasuk menuntut ilmu dan berdakwah. Setelah bersungguh-sungguh
mengerjakan amal ukhrawi, bekerja keraslah pula dalam urusan duniawi. Keseimbangan
antara kedua-duanya hendaklah menjadi misi hidup keluarga Muslim.
Dalam usaha memenuhi keperluan hidup berumahtangga,
isteri sebagai pengurus rumah tangga hendaklah bijak dalam mengatur belanjawan
keluarga. Apabila memilih pekerjaan yang sederhana untuk menyeimbangkan
komitmen dakwah, kebiasaannya pendapatan yang diperoleh adalah rendah, maka perbelanjaan
keluarga juga hendaklah besederhana. Duit dibelanjakan untuk yang wajib dahulu,
kemudian untuk yang sunat dan akhirnya untuk yang mubah. Pada saat inilah
keinginan peribadi terpaksa diketepikan. Gejolak perasaan untuk menikmati
pakaian yang indah-indah, makanan yang sedap-sedap, rumah yang besar dan
kenderaan yang selesa perlu dikawal.
Sebagai motivasi, ingatlah firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala, “Ketahuilah, bahwa sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah permainan
dan suatu yang melalaikan, perhiasan dan bermegah- megah antara kamu serta
berbangga-banggaan tentang banyaknya harta dan anak, seperti hujan yang
tanam-tanamannya mengagumkan para petani; kemudian tanaman itu menjadi kering
dan kamu lihat warnanya kuning kemudian menjadi hancur. Dan di akhirat (nanti)
ada azab yang keras dan ampunan dari Allah serta keredhaan-Nya. Dan kehidupan
dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang menipu.” [TMQ al-Hadid (57):20]
Demi memenuhi tuntutan nafkah keluarga juga, seorang suami atau bapa tidak
boleh menjadikannya sebagai alasan untuk melakukan kerja atau perbuatan yang
tidak dibenarkan agama. Contohnya, bekerja di tempat-tempat maksiat (seperti
kelab malam, kilang membuat arak), mengamalkan rasuah dan penindasan, serta menzalimi
orang lain. Ada juga isteri atau ibu
yang terpaksa melacurkan diri demi membeli susu anak. Ingatlah, rezeki yang
disuapkan oleh ibu bapa ke mulut anaknya bakal menentukan masa depan mereka.
Rezeki daripada sumber yang haram bakal menjadi darah daging anak-anak. Padahal
Allah Subhanahu Wa Ta’ala telah
berpesan, “Hai
orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka
yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang
kasar, keras, dan tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya
kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.” [TMQ at-Tahrim (66):6]
Krisis Sosial Menggoncang
Aqidah
Akibat tertancapnya prinsip demokrasi hasil daripada penerapan sistem
sekular, hedonism (sukakan kepada hiburan) menjadi kebiasaan atau menjadi
budaya masyarakat. Penyebaran bahan-bahan hiburan seperti majalah, video,
cakera padat, permainan-permainan digital dan lain-lain menjadi fenomena baru
dalam kehidupan umat Islam. Penganjuran program-program hiburan pula tiada
hentinya sehinggakan anak-anak kecil turut dilibatkan. Tidak sedikit ibu bapa
yang mengimpikan anak-anak mereka menjadi penyanyi, pelakon atau selebriti
terkenal. Kalau tidak, masakan pertandingan-pertandingan dan talk show, yang membuka peluang kepada
anak-anak kecil, dipenuhi oleh ibu bapa dengan anak masing-masing.
Bagi ibu bapa yang hidupnya bermatlamat mencari keredhaan Allah, semua
perkara yang disebutkan di atas tidak langsung perlu mendapat perhatian mereka.
Anak-anak tidak boleh dibiasakan diri mereka dengan hiburan-hiburan yang
melampui batas-batas syariat. Walaupun hakikatnya dunia kanak-kanak itu penuh
dengan keriangan, tetapi ibu bapa hendaklah berwaspada dengan jerat kaum kuffar
yang sentiasa ingin merosakkan generasi kaum Muslim. Sesungguhnya aktiviti
menggembalakan pemuda-pemudi ke dunia khayalan, dunia muzik, dan narkotik
merupakan sebahagian daripada agenda
Freemason yang dinamakan ‘LIBARIM’. Ingatlah pesanan Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, "Sungguh kalian akan mengikuti jejak
langkah orang-orang sebelum kalian selangkah demi selangkah, hingga apabila
mereka memasuki lubang dhab(biawak), niscaya kalian mengikutinya. Para sahabat
bertanya, apakah maksudnya orang-orang yahudi dan nasrani? Beliau berkata:
siapa lagi kalau bukan mereka." [HR. Bukhari Muslim]
Di samping itu, perlulah diingat bahawa anak-anak bukannya bahan pelaburan
dunia. Walaupun hakikatnya keadaan ekonomi saat ini tidak menjamin masa depan
yang cerah bagi manusia, tetapi itu bukannya alasan bagi para ibu bapa untuk
memandang ringan tanggungjawab mereka untuk memberikan pendidikan fardhu ain (agama) berbanding pendidikan
fardhu kifayah (akademik) untuk
anak-anak. Memaksakan anak-anak untuk memberi sepenuh tumpuan pada pencapaian
akademik, demi menjamin pekerjaan yang baik dengan pendapatan yang besar bukanlah
cara didikan yang betul menurut Islam. Ilmu agama itulah yang lebih penting
diajarkan kepada anak-anak kerana amal hasil daripada ilmu tadi itulah yang
menjanjikan kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat. Sedangkan penguasaan ilmu
akademik hanya berguna untuk menjalani kehidupan sehari-hari di atas dunia ini.
Jadi, kedua-dua ilmu agama dan akademik wajib diberikan kepada anak-anak tanpa
berat sebelah.
Tambahan lagi, perkembangan fesyen wanita turut menyumbang kepada krisis
sosial dalam masyarakat. Pakaian yang menjolok mata berselerak di pasaraya dan
kedai-kedai pakaian. Bagi seorang isteri, sedikit sebanyak ada kebimbangan di
hatinya apabila memikirkan suaminya yang tidak akan dapat lari daripada
berhadapan dengan wanita-wanita yang tidak menutup aurat itu.
Krisis Politik Menjerat
Perjuangan
Politik merupakan pemeliharaan
urusan umat/rakyat dalam negeri dan luar negeri dengan sistem tertentu. Saat
ini, urusan rakyat diatur dengan sistem demokrasi berparlimen. Demokrasi memberi
kebebasan kepada pihak yang berhak membuat undang-undang (Parlimen) untuk
membuat keputusan berdasarkan undi majoriti daripada ahli-ahlinya. Setiap keputusan
yang berbentuk undang-undang atau polisi ini bakal mengikat rakyat apabila ia
dikuatkuasakan, samada ia dibenarkan agama atau tidak.
Contohnya, apabila kelab-kelab malam
dan pusat judi dibenarkan beroperasi secara ‘halal’ di negara ini, ia
sebenarnya telah membenarkan masyarakat untuk sama-sama terlibat dengan
kegiatan yang diharamkan agama seperti judi, minum arak, zina dan lain-lain. Kesannya,
kewajipan ibu bapa terhadap anaknya bertambah berat. Anak-anak perlu dipantau
setiap masa untuk mencegah mereka daripada terjebak dengan perkara-perkara
tersebut.
Tidak kurang juga isteri yang terpaksa
meninggalkan tugas utamanya sebagai ibu dan pengatur rumahtangga demi memenuhi sasaran
tenaga kerja wanita dalam pasaran kerjaya. Wanita-wanita ini dimomokkan dengan
kesenangan hidup yang bakal mereka kecapi kononnya demi berbakti kepada negara.
Punca Krisis Kehidupan
Segala jenis krisis seperti yang disebutkan di atas
sebenarnya berpunca daripada manusia itu sendiri. Allah Subhanahu Wa Ta’ala berfirman, “Telah
nampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan karena perbuatan tangan
manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian dari (akibat)
perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar).” [TMQ ar-Ruum (30):41]
Apa yang dimaksudkan dengan perbuatan manusia itu ialah
apabila manusia hidup di atas muka bumi Allah ini dengan tidak berpandukan
hukum-Nya. Manusia gagal melaksanakan perintah-Nya dan gagal meninggalkan
larangan-Nya secara keseluruhan. Inilah yang Allah gambarkan dalam firman-Nya,
“Dan barangsiapa berpaling dari
peringatan-Ku, maka sesungguhnya baginya penghidupan yang sempit, dan Kami akan
menghimpunkannya pada hari kiamat dalam keadaan buta." [TMQ Thaahaa (20): 124]
Saat ini, umat Islam hidup dalam suasana yang jauh daripada
nuansa Islam. Ajaran Islam hanya diamalkan dalam hal-hal ibadah, nikah cerai
dan beberapa aspek kecil kehidupan manusia. Tetapi, pemerintahan, ekonomi,
budaya, pendidikan dan aspek kehidupan yang besar lainnya diatur mengikut akal
manusia. Sistem pemerintah negara dibina atas dasar demokrasi, sistem ekonomi
berasakan sistem kapitalis, sistem pendidikan pula memisahkan antara ilmu
pengetahuan (akademik) dengan aqidah Islam dan lain. Jadi, krisis-krisis yang
berlaku seperti di atas sebenarnya merupakan kesan buruk atas pelaksanaan
sistem kehidupan selain yang diajarkan Allah dan dicontohkan Rasulullah.
Penutup
Dalam menghadapi segala cabaran yang bakal ditempuh dalam
kehidupan yang penuh krisis ini, setiap Muslim tetap wajib berpegang teguh pada
agama Allah walaupun ‘sakit’. Inilah apa
yang rasulullah gambarkan dalam hadisnya, “Akan datang kepada umatku suatu
zaman di mana orang yang berpegang kepada agamanya laksana menggenggam bara
api.” [HR Tirmizi] Ini adalah disebabkan suasana di sekelilingnya tidak
membantu untuk dia menunaikan kewajipan agamanya, bahkan apa yang ada di
sekelilingnya mendorong untuk membuat maksiat dan perkara-perkara yang dapat
meruntuhkan aqidah dan keimanan atau paling kurang menyebabkan kefasiqan. Ini
juga bermaksud, orang Islam tersepit dalam melaksanakan tuntutan agamanya di
samping tidak mendapat kemudahan.
Kesusahan hidup bukannya alasan untuk seorang Muslim itu
mengabaikan kewajipannya dan bukan juga sehingga memaksanya untuk melakukan
keharaman. Ingatlah pada janji Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam kepada
orang-orang hidup dalam kehidupan yang rosak tapi dia tetap istiqamah dengan
Islam. Daripada Abu Hurairah ra berkat, bersabda Rasulullah saw: Islam mula
tersebar dalam keadaan dagang (asing), Dan ia akan kembali asing pula. Maka
beruntanglah orang-orang yang asing. [HR. Muslim]