HOME

Rabu, 11 April 2012

MAHASISWA ISLAM, IDEOLOGI ISLAM [1]



SHAH ALAM – Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (Gamis) menggesa Kerajaan Pusat pimpinan Barisan Nasional (BN) mengadakan perbincangan dengan Pakatan Rakyat (PR) berhubung cadangan kaedah mengurangkan bebanan pembiayaan pengajian tinggi dengan menghapuskan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), bukannya dengan mengkritik idea dibawah perikatan pembangkang itu.

Naib Presiden I Gamis, Eikhwan Ali berkata, kedua-dua BN dan PR harus melihat isu berkenaan sejajar dengan agenda yang dibawa dalam Deklarasi Inspirasi Anak Muda Malaysia (Inspirasi) yang dilancarkan pada 25 Mac lalu iaitu dalam membela hak dan kebajikan mahasiswa dalam pembiayaan pengajian. Sehubungan itu kata beliau, inspirasi yang didokong oleh Gamis bersama 13 barisan mahasiswa di seluruh negara juga akan bersama dalam  Himpunan mansuh PTPTN pada 14 April ini. [SINAR HARIAN-31 MAC 2012].

Jika ditelusuri dengan teliti sejak tahun 2011, mahasiswa seperti diambang kebangkitan.Suara mahasiswa kembali bergema apabila mereka dilihat semakin berani meminta hak mereka. Kita pasti masih ingat pada tindakan berani seorang mahasiswa, Adam Adli yang menurunkan bendera berwajah Perdana Menteri di perkarangan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) semasa dalam usaha menyerahkan memorandum menuntut kebebasan akademik. Siapa Adam Adli? Dia ialah seorang mahasiswa.

Namun, persoalan yang lebih penting ialah, apakah punca utama terzahirnya kebangkitan ini? Apakah kebangkitan ini merupakan kebangkitan yang hakiki dan apakah ideologi yang dipegang oleh mahasiswa-mahasiswa ini dalam meraih kebangkitan? Persoalan-persoalan ini harus dijawab bagi menilai adakah usaha mahasiswa ini selaras dengan kehendak syarak atau masih tidak selaras dengan syarak.

PUNCA KEBANGKITAN
Menurut Naib Presiden I Gamis, Eikhwan Ali, PTPTN harus dihapuskan kerana kerajaan sepatutnya menyediakan pendidikan percuma dari peringkat sekolah rendah sehingga peringkat univerisiti. Menurut beliau lagi, usaha ini dilakukan bagi membela hak dan kebajikan mahasiswa dalam pembiayaan pengajian. Usaha ini murni, namun, jika diperhatikan secara teliti, terdapat kepincangan terhadap usaha ini, iaitu matlamat mereka semata-mata untuk meraih kepentingan (kemaslahatan). Malah, usaha untuk memansuhkan PTPTN ini juga tidak mengetengahkan keharaman PTPTN yang terlibat dengan unsur riba’. Ternyata, usaha mahasiswa ini bukan untuk memenuhi tuntutan syarak yang mewajibkan negara menyediakan pendidikan secara percuma, tetapi semata-mata untuk mendapat kesenangan dan kemudahan dalam mengejar ilmu. Sayang seribu kali sayang.

Isu Adam Adli juga mendapat pelbagai reaksi daripada pelbagai pihak. Ada yang menyokong hero mahasiswa ini, dan ramai juga yang menempelak tindakan mahasiswa ini. Menurut Adam Adli kepada wartawan Sinar, beliau menghantar memorandum untuk menuntut kebebasan berakademik. Kebebasan akademik yang dituntut ini memilik enam asas utama dengan berpegang kepada dua prinsip berikut:

1.Bahawa ahli akademik, sama ada di dalam atau di luar bilik kuliah, memiliki kuasa yang tidak terbatas untuk mempersoal, menguji idea dan mengeluarkan kenyataan kontroversi dan tidak popular tanpa mengira sama ada pendapat tersebut bercanggah atau tidak dengan pendapat umum.

2. Institusi akademik tidak berhak untuk mengekang kebebasan akademik dalam kalangan kakitangan universiti atau menggunakan praktis kebebasan akademik sebagai sebab untuk mengenakan tindakan tatatertib.

Jika kita menilai tindakan Adam Adli menurunkan bendera yang terdapat gambar Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Najib Tun Razak sebagai satu tindakan yang salah, adakah benar penilaian kita itu? Apakah yang mengatur akal kita dalam menilai sesuatu tindakan? Syarak atau perlembagaan negara? Adakah haram menurunkan bendera menurut Islam? Maka, kita akan dapat jawapannya iaitu sama sekali tidak salah kerana Islam tidak melarang perbuatan menurunkan bendera sebagai satu keharaman. Maka, mengapa kita melihat tindakan ini sebagai satu kesalahan yang besar? Namun, yang harus diperhatikan ialah, apakah perjuangan Adam Adli merupakan satu perjuangan yang menepati syarak? Prinsip perjuangan Adam Adli yang berteraskan kebebasan bertingkah laku dan kebebasan memberikan pendapat merupakan prinsip demokrasi secara jelas bertentangan dengan syarak.

Kebebasan berpendapat bererti bahawa setiap orang memiliki hak untuk menyatakan pendapat apa sahaja dalam segala perkara tanpa terikat dengan batasan apa pun. Ini bermaksud mereka berhak menyatakan apa-apa sahaja pendepat walaupun pemikiran atau pendapat mereka  bertentangan dengan aqidah Islam seperti pemikiran tentang nasionalisme, patriotisme, pluralisme, feminisme dan sebagainya. Padahal, Islam telah memerintahkan umatnya untuk menghapuskan segala bentuk pemikiran kufur ini.

Kebebasan bertingkah laku bererti kebebasan untuk lepas dari segala macam ikatan dan kebebasan untuk melepaskan diri dari setiap nilai kerohanian, akhlak, dan kemanusiaan.  Kebebasan ini merupakan jenis kebebasan yang telah menimbulkan segala kebinasaan dan membolehkan segala sesuatu yang telah diharamkan. Kebebasan ini menetapkan bahawa setiap orang, dalam perilaku dan kehidupan peribadinya berhak untuk berbuat apa sahaja mengikut kehendaknya tanpa boleh ada larangan baik dari negara atau orang lain.
Maha Benar Allah  SWT yang berfirman,

“Terangkanlah kepadaKu tentang orang-orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai Tuhannya. Maka apakah kamu dapat menjadi pemelihara atasnya? Atau apakah kamu mengira bahawa kebanyakan mereka itu mendengar atau memahami? Mereka itu tidak lain hanyalah seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat jalannya (dari binatang ternak itu)” [TMQ al-Furqan (25):43-44].

Ternyata, prinsip perjuangan Adam Adli dan rakan-rakannya merupakan perjuangan yang bathil kerana bertentangan dengan syarak. Kebangkitan mahasiswa-mahasiswa ini masih belum berada pada jalan yang benar kerana masih tidak disandarkan dengan perjuangan menegakkan syariat Islam dengan thariqah Islam yang jelas.


JERAT IDEOLOGI SEKULARISME
Mahasiswa harus sedar bahawa ideologi sekularisme sebenarnya sedang menjerat mereka sehingga terdapat mahasiswa yang langsung tidak mahu mengambil tahu tentang politik dengan alasan “tidak minat politik” atau “politik itu kotor”. Golongan mahasiswa jahil ini ramai bilangannya di universiti dan mereka kebanyakannya langsung tidak dapat mengaitkan politik dengan Islam. Mereka tidak merasakan bahawa politik adalah sebahagian daripada Islam. Dan sayangnya mahasiswa-mahasiswa ini tidak pula sibuk mencari ilmu agama, tetapi lebih sibuk dengan urusan sosial yang bertentangan dengan syarak. Golongan mahasiswa yang kedua pula ialah kelompok mahasiswa yang sangat aktif dalam politik, namun mereka berpolitik tanpa mengambil Islam secara kaffah. Mereka tertipu dengan dakyah demokrasi dan sekularisme. Fenomena inilah yang sedang menghantui para mahasiswa yang sedang bangkit yang akhirnya membawa mereka kepada kebangkitan yang bathil.
"Wahai orang-orang yang beriman, masuklah Islam secara kaffah (menyeluruh) dan janganlah kamu mengikut jejak syaitan, sesungguhnya (syaitan itu) adalah musuh yang jelas bagi kamu” [Al-Baqarah: 208]

Kedua-dua kelompok mahasiswa ini merupakan hasil ideologi sekularisme yang membenarkan mereka membuat pilihan atas kebebasan yang dilaungkan kapitalisme. Maka, atas kebebasan inilah, maka terjadinya dua kelompok utama mahasiswa,  iaitu golongan mahasiswa yang tidak mahu berpolitik dan golongan mahasiswa yang berpolitik dengan ideologi sekularisme. Sedangkan Islam  tidak pernah memberi pilihan kepada kita untuk tidak melakukan hal yang wajib, termasuklah kewajipan berpolitik. Maka, yang harus dijiwai oleh para mahasiswa ini ialah berdiri di atas landasan ideologi Islam dan menolak ideologi kapitalisme! Apa itu ideologi Islam? Apa pula yang dikatakan ideologi sekularisme? Bagaimana caranya untuk meraih kebangkitan yang hakiki dengan penerapan ideologi Islam? Segala pembahasan ini akan dihuraikan post yang akan datang.

Jika kamu mahasiswa Islam, maka pastikan Ideologi kamu adalah Islam!